Berita

Pemimpin Singapura ucap tahniah atas pelantikan semula Xi Jinping sebagai Presiden China

- Diterbit 10 Mac 2023 1:15 PM MYT

PEMIMPIN Singapura pada Jumaat menyampaikan perutusan tahniah kepada Xi Jinping atas pelantikan semula beliau sebagai Presiden China, sambil menyatakan bahawa China akan terus makmur di bawah pimpinan Xi.

Xi, 69, diberi mandat menerajui kepimpinan negara untuk penggal ketiga selepas dipilih semula pada Kongres Rakyat Kebangsaan ke-14 pada Jumaat.

“Sepanjang dekad yang lalu, China telah mencapai kemajuan penting dalam pembangunan, ekoran komitmen yang gigih untuk meningkatkan kehidupan rakyatnya,” kata Presiden Halimah Yacob menerusi perutusan tahniah kepada rakan sejawatnya dari China, Xi.

Teks perutusan itu dilampirkan kepada media.

Halimah menyuarakan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Xi, China akan terus menempa pencapaian baharu dan menikmati keamanan serta kemakmuran yang berterusan.

Menurut Halimah, Singapura dan China menikmati hubungan yang sangat baik, dipupuk melalui pertukaran di peringkat tinggi, kerjasama yang saling menguntungkan dan hubungan erat antara rakyat.

“Kerjasama dua hala telah berkembang dan maju mengikut peredaran zaman, selaras dengan keutamaan pembangunan masing-masing.

“Saya mempunyai keyakinan bahawa kedua-dua negara akan terus mengukuhkan hubungan ini pada tahun akan datang demi manfaat rakyat kita,” kata Halimah.

Sementara itu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata di bawah kepimpinan Xi, China telah mencapai kemajuan yang mengagumkan.

“Ini telah memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat China, tetapi juga rantau ini pada umumnya,” kata Lee dalam perutusan tahniahnya.

Ketika China mengharungi fasa pertumbuhan dan persekitaran global yang mencabar, Lee menyatakan keyakinannya bahawa Xi akan mengemudi negara itu ke arah kemajuan dan kemakmuran yang berterusan.

Menurut Lee, Singapura dan China berkongsi persahabatan yang erat dan lama, dipupuk oleh generasi pemimpin terdahulu antara kedua-dua negara.

“Kerjasama dua hala terus berkembang seiring dengan kepentingan dan keutamaan rakyat.

“Ini mencerminkan persefahaman dan komitmen yang mendalam untuk saling bekerjasama bagi manfaat bersama. Saya berharap agar dapat terus bekerjasama dengan anda bagi membawa hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Xi telah dipilih dalam Perhimpunan Agung pertama Kongres di ibu negara Beijing melalui undian sebulat suara ekoran tiada pencabar, menurut laporan berita. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas