Berita

Pemilik PA Sri Labuan ditawar unit lebih selesa – Annuar

- Diterbit 30 Ogos 2020 2:08 PM MYT

PEMILIK Perumahan Awam (PA) Sri Labuan yang dianggarkan seramai 300 orang bakal ditawarkan unit kediaman lebih besar dan selesa bagi penempatan semula perumahan penduduk.

Penantian mereka yang berdepan pembangunan semula kawasan penempatan itu, akhirnya tamat apabila kata putus mengenainya dicapai dengan kesemua pemilik kini ditawarkan unit kediaman percuma dengan keluasan hampir dua kali saiz PA sedia ada.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, inisiatif ditawarkan kepada semua pemilik dijangka menelan belanja lebih RM50 juta bagi membolehkan mereka ditempatkan semula di kawasan Kediaman Razakmas 2 dijangka pada awal tahun depan.

Beliau berkata, tawaran unit kediaman baharu itu bukan sahaja lebih besar dan selesa malah harga pasarannya 10 kali ganda lebih tinggi berbanding unit PA didiami ketika ini yang telah pun berusia lebih 30 tahun.

“Rumah kediaman ditawarkan ini seluas 800 kaki persegi dan ia terletak berhampiran kawasan PA. Jadi, setiap pemilik boleh tinggal di kediaman ini dengan ebih selesa dan tidak perlu risau.

“Cadangan tawaran ini dibuat menggantikan unit perumahan PA yang dibeli pemilik sekitar tahun 1980 dengan harga lebih RM20,000 seunit, yang akan dirobohkan dan dibangunkan semula oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya dalam sidang media selepas sesi dialog bersama penduduk ketiks melawat kawasan PA Sri Labuan di Bandar Tun Razak, pada Ahad.

Mengulas lanjut Annuar berkata, beliau dan pihak Kementerian Wilayah telah pun melakukan kajian terperinci meliputi pelbagai sudut termasuk sesi rundingan dengan pemaju swasta yang terlibat sebelum ini.

Menurutnya, semua pihak terlibat telah mencapai kesepakatan iaitu DBKL akan membeli sejumlah unit (Razakmas Residence) pada harga tertentu yang dipersetujui untuk diberikan kepada pemilik sebagai penggantian bagi penempatan semula.

Katanya, setiap usaha dan inisiatif yang diambil kerajaan sama sekali tidak mengetepikan aspek kebajikan dan kemampuan kewangan rakyat bagi mengelak penduduk terlibat berdepan kesukaran.

“Bagi penyewa unit di PA Sri Labuan pula, harga istimewa akan ditawar dengan potongan hingga 30 peratus dari harga pasaran. Unit kediaman ini telah selesai dan proses dokumentasi serta fasa pemindahan dijangka selesai dalam tiga bulan.

“Selain itu, pihak kementerian bersama DBKL dan wakil persatuan penduduk juga sedang mencari kaedah penyelesaian mengenai generasi kedua penduduk Sri Labuan bagi membolehkan mereka turut memiliki kediaman sendiri pada harga yang berpatutan dan tidak membebankan,” katanya. -OLEH SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas