Berita

Pemergian KZ suatu kehilangan besar buat akar umbi UMNO

- Diterbit 9 Jun 2021 2:57 AM MYT

KEMBALINYA insan berdedikasi terhadap gerak kerja parti, Kamarulzaman Mohd Sharif atau lebih mesra disapa KZ mengadap Maha Esa, disifatkan satu kehilangan besar untuk ahli UMNO peringkat akar umbi.

Menjawat tugas semasanya sebagai Setiausaha Bahagian UMNO Bukit Bintang, arwah KZ dengan tenang menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital semalam, pada usia 49 tahun.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, sepanjang hayatnya mengenali KZ, arwah adalah seorang yang mudah didekati serta disenangi oleh rakan-rakan seperjuangan, sejak dari zaman Pemuda UMNO lagi.

Beliau berkata, pengalaman mengenali KZ secara peribadi memberi pelbagai manfaat khususnya di dalam mendepani kancah politik dan gerak kerja parti yang memerlukan komitmen tinggi daripada setiap individu.

“Perkenalan saya dengan arwah sudah lama, KZ  sebelum persempadanan Parlimen, beliau ialah Pemuda UMNO Bahagian Seputeh dan memang aktif serta terkenal dengan komitmennya dalam menjayakan apa sahaja program. Beliau adalah orang Parti yang banyak jasanya.

“Jadi, secara peribadi saya merasakan pemergian arwah suatu kehilangan besar bagi ahli UMNO. Banyak jasa yang telah ditabur beliau dari zaman Pemuda UMNO lagi hingga menjadi Setiausaha Bahagian UMNO Bukit Bintang,” katanya kepada Wilayahku ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, menurut sumber yang dipercayai, arwah KZ dikatakan dirawat di sebuah hospital di ibu negara sejak beberapa hari lalu, akibat positif COVID-19.

Selain arwah, Setiausaha Kerja UMNO Bahagian yang sama turut disah positif, namun keadaan mangsa dikatakan stabil.

Usaha Wilayahku untuk mendapatkan maklumat sahih berkenaan situasi yang berlaku, masih lagi tidak berhasil, malah beberapa pihak di Pejabat UMNO Bahagian Bukit Bintang ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.

Selain sebagai SUB UMNO Bukit Bintang, arwah KZ dikenali sebagai pemimpin masyarakat tegas dan fokus, turut menggalas peranannya sebagai Pengerusi Rukun Tetangga Razak Mansion sejak tahun 2019 lagi. -WILAYAHKU -SYAHIDI BAKAR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas