Berita

Pembiayaan insurans kenderaan untuk penjawat awam dilancar

BERKONSEP patuh syariah Qardhul Hasan iaitu pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba.
- Diterbit 1 Julai 2022 6:39 AM MYT

PEMBIAYAAN insurans kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com, yang berkonsep patuh syariah Qardhul Hasan iaitu pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba, dilancarkan hari ini untuk penjawat awam bagi pembelian insurans kenderaan dan cukai jalan.

Dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, myezycover.com yang boleh dimanfaatkan oleh kira-kira 1.6 juta penjawat awam termasuk yang bertaraf kontrak, dilaksanakan secara dalam talian serta turut menawarkan pelbagai manfaat untuk melindungi kenderaan daripada kemalangan serta bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

“Melalui myezycover.com, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan di hujung jari dengan mudah, jimat dan pantas. Nota Perlindungan Insurans diperoleh hanya dalam tempoh lima minit,” kata Ismail Sabri ketika melancarkan myezycover.com itu di sini hari ini.

Program pembiayaan insurans kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com itu telah diumumkan Ismail Sabri pada 1 Mei sempena sambutan Hari Pekerja 2022 bertemakan ‘Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia Dalam Pemulihan Negara’.

Menghuraikan mengenai myezycover.com itu, Ismail Sabri berkata ia bercirikan kemudahan pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan melalui pembiayaan tanpa faedah atau sifar peratus dengan bayaran balik pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan boleh dibuat melalui Skim Potongan Gaji Angkasa (SPGA).

Beliau berkata penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak layak memohon skim pembiayaan insurans itu dengan syarat, nisbah hutang tidak melebihi 60 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan.

“Inisiatif ini tidak berorentasikan komersial semata-mata. Apa yang paling penting, ia dapat membantu merealisasi konsep Keluarga Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan, yang menjadi tanda aras komitmen dan kesungguhan kerajaan.

“Pada masa yang sama, usaha ini dapat membantu pegawai kerajaan mengurangkan tekanan kewangan, setiap kali mereka memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan,” katanya.

“Program ini jelas membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam, selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang menitikberatkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran,” katanya kerajaan amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh Keluarga Malaysia termasuk penjawat awam akibat pandemik COVID-19.

“Kini kita berada dalam Fasa Peralihan Ke Endemik dan ekonomi Malaysia menunjukkan ke arah pertumbuhan positif.

“Namun, Keluarga Malaysia sedang berhadapan cabaran kos sara hidup akibat ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim. Ini termasuk konflik Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan, bahan api serta gangguan rantaian bekalan,” katanya.

Ismail Sabri berkata hakikat tersebut turut memberi kesan kepada penjawat awam khususnya dalam kumpulan perkhidmatan sokongan, yang selama ini menyokong cita-cita kerajaan, teguh berdiri sebagai tulang belakang pentadbiran negara dalam apa jua keadaan mahupun rintangan.

“Menyedari hakikat Keluarga Malaysia khususnya penjawat awam berdepan dengan cabaran kelangsungan hidup dalam pasca pandemik, kerajaan telah merangka dan merealisasikan pelbagai program serta inisiatif, bagi meringankan beban hidup mereka,” katanya.

Program pembiayaan insurans kenderaan myezycover.com itu merupakan kerjasama strategik antara agensi awam, Kementerian Sumber Manusia dan swasta, yang dimeterai oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) dan A Tech Insure Sdn Bhd.

Ismail Sabri berkata kerajaan sentiasa menyambut baik pelaksanaan projek secara kerjasama sektor awam swasta dalam semua bidang terutama yang memberikan impak positif serta manfaat besar kepada negara dan Keluarga Malaysia.

Sementara itu, Saravanan dalam ucapannya berkata idea mewujudkan myezycover.com itu timbul selepas pihaknya membuat kaji selidik mengenai kedudukan kewangan penjawat awam semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hasil kajian, kita (Kementerian Sumber Manusia) telah kenal pasti dua isu yang dihadapi penjawat awam golongan B40 dan M40. Mereka tidak mempunyai sebarang simpanan dan tiada jaringan keselamatan Perkeso,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, Presiden Angkasa Datuk Seri Dr Abdul Fatah Abdullah dan Pengerusi A Tech Insure Sdn Bhd Tan Sri Abu Kassim Mohamed. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas