Berita

Pembangunan perumahan selesa untuk rakyat jadi keutamaan KWP

SHAHIDAN bersama wakil Persatuan Penduduk dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Cheras selepas sesi tinjauan di Flat Taman Rajawali, hari ini.
- Diterbit 18 Januari 2022 11:48 AM MYT

PROJEK perumahan lebih selesa serta kondusif untuk kehidupan rakyat kekal menjadi keutamaan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam membangunkan kawasan telah dikenal pasti.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, setiap projek pembangunan yang dijalankan tidak harus menjejaskan keselesaan rakyat terutama di Wilayah Persekutuan untuk memastikan mereka dapat menjalani kehidupan dengan seimbang.

Beliau berkata, atas dasar tersebut, pelaksanaan projek pembangunan Perumahan Awam (PA) Flat Taman Rajawali, Cheras berkonsep ‘key to key‘ tidak akan menjejaskan kehidupan penghuninya, malah mereka akan miliki rumah baharu secara percuma setelah siap projek kelak.

“Projek pembangunan perumahan sedang dibuat ini ialah kita bangunkan dahulu sesuatu tempat yang dikenal pasti kosong, kemudian penduduk yang terlibat akan diberi milikan rumah yang baru berdasarkan penjanjian telah dipersetujui dalam bentuk key to key.

“Ini maknanya mereka akan dapat gantian rumah baru, kemudian pemaju akan bangunkan semula kawasan di tapak asal berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan di sekitar Flat Taman Rajawali, Cheras, hari ini.

Flat empat tingkat berkeluasan 550 kaki persegi dengan dua bilik tidur itu terlibat di dalam proses pembangunan semula perumahan dilaksanakan melalui inisiatif usaha sama kerajaan dan swasta (UKAS) membolehkan 80 keluarga terlibat bakal memiliki rumah baharu tidak lama lagi.

Projek perumahan dibangunkan oleh Desa Aman Hill Residence Sdn Bhd itu akan bermula Mac ini dijangka siap menjelang awal tahun 2023 dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM256 juta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas