Fokus

Pembangunan mampan di Putrajaya

ALAM FLORA memainkan peranan dalam membantu perialisasikan Putrajaya Mampan.
- Diterbit 27 Jun 2019 9:45 PM MYT

Tingkat amalan kitar semula, kebersihan premis makanan

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

PEMBANGUNAN mampan adalah pembangunan yang
memenuhi keperluan generasi masa kini tanpa mengabaikan keperluan generasi akan datang. Bagi mencapai ke arah tersebut, sesebuah bandar perlu mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan keperluan sosial dan alam sekitar.

Keperluan asas seperti kediaman, kemudahan awam, keselamatan dan kualiti persekitaran yang selesa
untuk daya huni merupakan antara faktor-faktor penting bagi mencapai pembangunan mampan.

Usaha tersebut sedang giat dilakukan di Putrajaya yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan Pusat.

Menurut Naib Presiden Perancangan Bandar, Perbadanan Putrajaya (PPJ), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, PPJ berusaha keras untuk menjadikan Putrajaya Mampan 2025 berlandaskan prinsip perancangan dan pembangunan ke arah mencapai Wawasan 2020.

“Pencapaian bandar mampan diukur melalui program Malaysian Urban Indicators Network (MURNInets). Ia merupakan satu program penilaian, penentuan dan pemantauan tahap kemampanan bandar berdasarkan penunjuk-penunjuk yang telah ditetapkan oleh PLANMalaysia.

“Secara tidak langsung, MURNInets dapat membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti PPJ mengumpul data dan maklumat daripada pembekal
data atau agensi yang berkaitan,” ujarnya kepada WK2.

Putrajaya telah menjalankan pelaksanaan program MURNInets bermula pada tahun 2012 sehingga 2016 yang melibatkan 36 penunjuk.

Pada tahun 2017, pihak PLANMalaysia telah membuat kajian MURNInets yang melibatkan perubahan kepada indikator, piawaian dan skor selaras dengan Rancangan Malaysia ke-11 dan dasar-dasar sektoral yang lain dikenali sebagai MURNInets 2.0.

Pada tahun 2019 terdapat penambahbaikan MURNInets 2.0 telah dibuat iaitu hanya 39 penunjuk yang telah diguna pakai oleh semua PBT yang merangkumi enam dimensi iaitu Ekonomi Berdaya Saing, Kualiti Persekitaran Mampan, Komuniti Sejahtera, Gunatanah dan Sumber Asli, Infranstruktur
dan Pengangkutan Efisien serta Urus Tadbir Efektif.

“Tahun lalu, PPJ telah mendudukan tempat ketiga Anugerah Bandar Mamppan Tahun 2017 kategori Bandaraya. Daripada keputusan itu, kita berazam untuk memperoleh tempat pertama iaitu sebagai bandar paling mampan untuk tahun ini.

“Bagi mencapai pencapaian tersebut, kami menitikberatkan penunjuk-penunjuk yang menghasilkan keputusan kurang mampan dan dalam
masa yang sama menjalankan tindakan penambahbaikan yang bersesuaian,” ujarnya.

Jelas Fadlun, terdapat tiga kelemahan yang dikenal pasti iaitu di bahagian Kadar Kenaikan Tahunan Kitar
Semula, Premis Perniagaan Makanan Mendapat Penarafan Gred A dan Peratus Tandas Awam Mendapat Penarafan Lima Bintang.

“Untuk mengatasi masalah kitar semula, PPJ sedang bekerjasama dengan Alam Flora Sdn. Bhd. dari segi penempatan untuk menyiapkan pembinaan pusat kitar semula berkonsepkan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) di Presint 5, Putrajaya.

“Pembinaan yang dijangka siap dalam tahun ini bakal memudahkan penduduk untuk menghantar barang-
barang terbuang untuk dikitar semula. Di sini juga bakal dijadikan pusat pendidikan untuk pembelajaran
pelajar sekolah secara terus,” ujarnya.

Tambahnya lagi, untuk 3R, PPJ menyasarkan kenaikan dua peratus setiap tahun yang mana jumlah sisa
pepejal dijana pada tahun 2018 ialah 28.9 juta kilogram (kg) berbanding pada tahun 2016 (29.3 juta kg).

Selain itu, dari segi Premis Perniagaan Makanan Mendapat Penarafan Gred A pula, Fadlun berkata, pihaknya sering mengadakan anugerah premis terbersih agar para peniaga bersemangat dan berlumba-lumba untuk muncul sebagai premis terbaik.

“Setakat ini kita mempunyai 387 buah premis di seluruh Putrajaya. Tahun lalu kita mendapat peratusan sebanyak 50 peratus. Untuk mencapai tahap mampan, premis perlu memperolehi markah 70 peratus.

“Untuk itu, sebagai langkah drastik, banyak premis yang dikenakan tindakan penggantungan lesen atau ditutup jika tidak menepati piawaian yang ditetapkan,” ujarnya.

Menyentuh tentang Peratus Tandas Awam Mendapat Penarafan Lima Bintang pula, Fadlun berkata, pihaknya
sedang dalam proses menambah baik tandas awam di tempat-tempat tumpuan utama seperti di Putrajaya
Sentral.

“Baru-baru ini terdapat sedikit isu berbangkit tentang tahap kebersihan tandas di situ dan kita telah mengambil langkah yang sepatutnya. Selepas ini, usaha akan diperluaskan ke tandas awam di Dataran Putra. Memandangkan ia adalah tandas lama, jadi kita
akan membaik pulih infrastruktur tersebut,” ujarnya.

Ulasnya lagi, jika tiga masalah utama tersebut dapat diselesaikan, maka tidak mustahil Putrajaya bakal muncul di tempat pertama dalam Anugerah
Bandar Mampan Tahun 2019.

Tahun lalu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor muncul sebagai pemenang pertama manakala kedua
dirangkul Majlis Bandaraya Melaka.

PUSAT Kitar Semula yang berkonsepkan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) di Putrajaya.
KEDAI makan yang sentiasa dalam keadaan bersih.
KEMUDAHAN Awam dan pengangkutan awam sentiasa dinaik taraf kan.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas