Pematuhan standard keselamatan barangan pengguna akan terus diperkasa

Pematuhan standard keselamatan barangan pengguna akan terus diperkasa

BARU-BARU ini, setelah pulang bertugas dari pejabat, penjawat awam Ahmad Erwan Othman singgah di sebuah pasar malam di tengah ibu kota, untuk membeli anak patung sebagai hadiah hari jadi ke-5 tahun anak perempuan sulungnya.

Antara banyak deretan gerai jualan, langkahnya terhenti di sebuah gerai, ada pelbagai jenis permainan kanak-kanak di gerai itu termasuk anak patung.

Hatinya berkenan pada satu anak patung Barbie yang kelihatan begitu comel, berpakaian hijau laksana puteri raja, dengan rambut palsu berwarna emas. Harganya sekitar RM15.

Ahmad Erwan tersenyum sendiri, membayangkan betapa anak kecilnya itu akan melompat keriangan menerima hadiah hari jadinya nanti.

Namun ketika ingin membuat bayaran, barulah beliau perasan, tiada pelekat Malaysian Comformity atau MC tertera pada anak patung atau di mana-mana bahagian kotaknya, tidak seperti barangan mainan lain yang pernah beliau beli sebelum ini.

Dengan perasaan sedih, beliau beredar tanpa membeli anak patung itu kerana risau ianya mungkin tidak selamat untuk anaknya. Getus hatinya, “apakah ianya suatu kesalahan berdasarkan undang-undang terhadap pengeluar atau peniaga untuk menjual barangan pengguna yang tiada penandaan MC?”

PERLU PENANDAAN MC

Mengulas mengenai persoalan ini, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Standard Kepenggunaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Salman Salim berkata, mainan kanak-kanak adalah salah satu dari enam jenis barangan pengguna yang dikawal selia KPDNHEP dan perlu mematuhi standard keselamatan.

Beliau menegaskan, standard keselamatan merupakan satu piawaian yang ditetapkan pada barangan supaya dapat menjamin keselamatan pengguna, selain ia juga menetapkan standard tertentu yang dibangunkan bagi barangan pengguna agar barangan yang dihasilkan oleh pihak industri adalah berkualiti dan memenuhi piawaian yang ditetapkan.

“Sebarang jenis mainan kanak-kanak 14 tahun ke bawah, yang berada di pasaran, perlulah mempunyai penandaan MC, ia bertujuan memastikan mainan tersebut selamat untuk digunakan pengguna terutamanya kanak-kanak.

“Penandaan MC perlu dibuat oleh pihak industri iaitu pengeluar atau pengimport barang mainan sebelum produk mainan mereka dijual di pasaran Malaysia, ” kata Salman, ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau turut menjelaskan, pihak berkenaan perlu memohon terlebih dahulu dokumen Certificate of Conformance (COC) menerusi system MYSAFE di pautan https://mysafe.kpdnhep.gov.my iaitu satu sistem end-to-end bagi membolehkan pemohon berurusan secara atas talian.

Menerusi sistem tersebut, pelanggan boleh berhubung terus dgn sumber (KPDNHEP) secara terus menerusi dalam talian dan tidak perlu menerusi ejen atau orang tengah.

Beliau turut memberi contoh, bateri primer (bateri pakai buang) bagi kategori AA, AAA, AAAA, C, D dan 9V juga perlu mempunyai penandaan MC. Kedua-dua , yang mana kedua-dua barang ini tertakluk di bawah peruntukan Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999.

“APP 1999 digubal bagi melindungi hak-hak pengguna dan mengawal selia perkara yang berkaitan dengannya. Ianya juga selari dengan fungsi Bahagian ini yang ditubuhkan bagi mengkaji, merangka dan menggubal polisi serta peraturan berkaitan standard keselamatan barangan pengguna di Malaysia dengan menggunakan peruntukan undang-undang yang jelas,” tambahnya.

Menurut Salman, bagi mereka yang menjual barangan pengguna yang tidak mempunyai penandaan MC boleh dihukum berdasarkan Seksyen 25 Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

“Jika orang itu suatu pertubuhan perbadanan, dendanya tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

“Sementara, jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, dendanya tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.

EMPAT BARANGAN AUTOMOTIF

Salman memberitahu Bernama, Bahagiannya juga mengawal selia empat jenis barangan automotif iaitu pelapik brek kenderaan, tayar pneumatik, topi keledar motorsikal, dan kaca keselamatan kenderaan.

Barangan tersebut diletakkan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, yang mana akta ini secara khusus digubal bertujuan menggalakkan amalan perdagangan yang baik dengan melarang perihal dagangan palsu dan pernyataan, pengendalian dan amalan palsu atau mengelirukan.

“Bagi pelapik brek kenderaan, ia dikawal selia melalui Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Pasangan Pelapik Brek Gantian) 2014, iaitu semua pelapik brek gantian bagi kenderaan persendirian yang dijual di Malaysia perlu mempunyai penandaan MS SIRIM atau E-Mark bagi menunjukkan bahawa barangan berkenaan telah duji dan disijilkan oleh badan yang diiktiraf seperti SIRIM.

“Bagi produk tayar pneumatik (tayar yang diisi dengan udara dibawah tekanan pada kenderaan bermotor) pula dikawal selia melalui Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Tayar Pneumatik) 2012,” kata Salman.

Beliau menambah, produk topi keledar motosikal pula dikawal selia menerusi Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Topi Keledar Motosikal) 2012, manakala produk kaca keselamatan iaitu cermin yang dipasang pada badan kenderaan seperti cermin hadapan, cermin belakang dan cermin sisi pula dikawal selia berdasarkan Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Kaca Keselamatan Bagi Kenderaan Motor) 2017.

PENGGUNA DIUTAMAKAN

Bagi terus menjamin keselamatan barangan pengguna, Bahagian Standard Kepenggunaan sentiasa melaksanakan pelbagai program advokasi kepada orang ramai secara berkala mahupun ad-hoc.

Ini, selain daripada melaksanakan sesi penglibatan dalam program anjuran Bahagian lain atau agensi-agensi lain, bagi memastikan maklumat yang ingin disampaikan kepada orang ramai tercapai.

“Program advokasi juga dilaksanakan setiap kali terdapat dasar baharu yang dikeluarkan oleh Kementerian berhubung keselamatan pengguna. Sementara, sesi libat urus bersama pihak industri kerap kali diadakan bagi mendapatkan maklumat berhubung perkara yang berada di dalam kawal selia Bahagian ini ataupun perkara baru.

“Ini bagi memastikan supaya tindakan pihak industri selari dengan dasar-dasar kerajaan selain bersedia bagi pelaksanaan dasar-dasar baharu,” jelas Salman.

Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Shaharul Sadri Alwi pula berkata, pihaknya sentiasa bekerja rapat dengan KPDNHEP bagi memastikan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kementerian, jabatan, agensi, badan akademik, persatuan industri serta persatuan pengguna.

Langkah tersebut adalah perlu, agar standard barangan yang dihasilkan adalah komprehensif dan memenuhi permintaan pasaran serta keperluan pelbagai pihak, termasuk badan penguatkuasa dan pengawalselia bagi tujuan penguatkuasaan dan aktiviti post-market surveillance.

“Selain itu, pelbagai program kesedaran berbentuk seminar, bengkel dan program pelaksanaan standard dikenalpasti dan dilaksanakan setiap tahun mengikut keperluan semasa dan kehendak pihak berkaitan.

“Antara seminar yang dijalankan Standards Malaysia berkaitan kepenggunaan adalah seperti keselamatan produk (MS 2626:2016 – Consumer Product Safety and Recall – Guidance In The Supply Chain),” katanya.

TEPATI PIAWAIAN ANTARABANGSA

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pensijilan Barangan dan Pemeriksaan SIRIM QAS International, Fauziah Fadzil berkata, pihaknya membantu KPDNHEP melalui proses pensijilan barangan, pengujian dan pelabelan barangan, di samping menjalankan pengawasan ke atas barangan yang mendapat pensijilan di pasaran dari semasa ke semasa.

“Surveillance Audit ke atas pengilang akan dijalankan sekurang-kurangnya sekali setiap tahun. Kesemua barangan yang dipersijilkan oleh SIRIM QAS International adalah menepati piawaian standard Malaysia dan antarabangsa,” jelasnya.

Beliau menambah, jika pengilang atau pelesen didapati menyalahgunakan label SIRIM atau jika barangan tersebut didapati tidak menepati standard atau syarat pensijilan, lesen pensijilan bagi barangan tersebut akan digantung.

Kegagalan dalam mengambil tindakan yang sewajarnya akan mengakibatkan lesen pengilang tersebut terbatal dan pengilang tersebut diarahkan untuk menarik semula kesemua barangan berkenaan yang berada di pasaran dan yang telah terjual.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (MACPMA) Peter Lim pula menjelaskan betapa pentingnya kualiti dan tahap keselamatan peralatan automotif dihasilkan pengeluar bagi memastikan ianya selari dengan strategi Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) yang menekankan keselamatan kenderaan dan pengguna, serta mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

“NAP 2020 turut memperkenalkan elemen kepenggunaan bagi melindungi hak pengguna berkaitan alat ganti kenderaan dan perkhidmatan ini termasuklah penyelenggaraan dan proses penarikan balik automotif (sekiranya bermasalah).

“Oleh itu, pengilang boleh memainkan peranan aktif mereka dalam membantu proses pembangunan standard bagi memastikan industri tetap kekal mematuhi syarat dan protokol keselamatan, pengilang juga perlu terus menghasilkan barangan berkualiti tinggi yang mematuhi piawaian standard ditetapkan,” jelas Lim. – BERNAMA

CATEGORIES