Berita

Pemahaman arahan MKN, antara cabaran perlu diperbaiki dalam pengurusan banjir – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 20 Januari 2022 4:45 AM MYT

KERAJAAN mengenal pasti tiga cabaran utama perlu diberi perhatian untuk diperbaiki dan ditambah baik segera dalam pengurusan banjir termasuk pemahaman terhadap Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata masih terdapat kelemahan pemahaman dalam kalangan agensi-agensi berkaitan di peringkat pusat, negeri dan daerah serta badan berkanun, selain pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan tanggungjawab masing-masing di peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana seperti digariskan di bawah arahan itu.

“Kerjasama rapat pelbagai pihak seperti kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan penting dalam memastikan keberkesanan pengurusan bencana negara pada tahap optimum,” katanya ketika sesi penerangan berkenaan situasi bencana banjir penghujung tahun 2021 pada Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

Ismail Sabri berkata pihaknya juga mengenal pasti kelemahan perintah dan kawalan dengan ketiadaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di negeri dan daerah, menyukarkan koordinasi secara terus dengan agensi-agensi di lapangan.

Arahan MKN No. 20 adalah berkaitan dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara yang menggariskan peranan dan tanggungjawab setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat.

Perdana Menteri berkata struktur organisasi sedia ada juga membataskan keupayaan NADMA untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana yang melibatkan penduduk setempat,  NGO dan pihak berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau berkata kekangan ini menyebabkan NADMA tidak dapat menguruskan bencana secara terus di peringkat negeri dan daerah.

Selain itu, katanya kelemahan pengurusan maklumat dalam pengurusan bencana juga perlu diperbaiki kerana didapati ada yang masih mengamalkan kaedah pengumpulan maklumat secara konvensional yang tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

Menurutnya situasi ini menyebabkan proses penyediaan laporan, penganalisaan, proses membuat keputusan dan pengurusan data berkaitan menunjukkan kelemahan yang ketara.

“Penyaluran maklumat oleh agensi-agensi terlibat sepatutnya lebih pantas dan tepat kepada mangsa-mangsa banjir dan ini semua perlu diperbaiki,” katanya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas