Berita

Pelumba Petronas Yamaha SRT bersedia untuk tiga perlumbaan terakhir

- Diterbit 5 November 2020 8:35 AM MYT

PELUMBA pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (Petronas Yamaha SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli sudah bersedia untuk menghadapi tiga perlumbaan penghujung musim bermula dengan Grand Prix (GP) Eropah minggu ini.

Menurut kenyataan pasukan itu, dalam perlumbaan GP Eropah dan GP Valencia di Litar Ricardo Tormo, Valencia; serta GP Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao; Quartararo dan Morbidelli akan bersaing untuk merebut 75 mata yang ditawarkan untuk meraih gelaran juara.

Selepas melakar kejayaan di Valencia tahun lepas, yang menyaksikan Quartararo bermula dari petak utama dan mendapat tempat kedua dalam perlumbaan itu, pelumba Perancis itu berharap dapat melakar satu lagi keputusan yang baik di Litar Ricardo Tormo, untuk memberi tekanan kepada pendahulu kedudukan carta Kejuaraan Dunia MotoGP ketika ini.

Beliau yakin dapat mengurangkan jurang perbezaan 14 mata pada carta kedudukan dalam dua perlumbaan hujung minggu di Valencia sebelum pusingan akhir di Portimao sejurus selepas itu.

“Walaupun kami berhadapan dengan dua perlumbaan yang sukar di Aragon, saya ingin memanfaatkan semangat yang ada ketika berlumba dengan motosikal MotoGP di Valencia dalam dua perlumbaan itu. Ia adalah litar perlumbaan yang kecil tetapi ia adalah litar kegemaran saya. Saya merasa hebat ketika beraksi di sana tahun lepas, semasa saya berjaya meraih podium, mendapat petak utama dan juga semasa ujian pasca musim.

“Tentu saja saya berharap dapat mengulanginya pada hujung minggu ini. Tinggal tiga perlumbaan sahaja tahun ini dan 14 mata di belakang pendahulu. Kami tahu kepantasan jentera kami, jadi saya rasa kami mempunyai banyak peluang dalam perlumbaan terakhir musim ini di Valencia dan Portimao dan saya bersedia untuk perlumbaan pertama hujung minggu ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Dengan kejayaan meraih kemenangan kedua kelas MotoGP, Morbidelli berhasrat meneruskan aksi baik di Valencia hujung minggu ini dan mahu mengurangkan jurang 25 mata dalam kedudukan kejuaraan pelumba.

Pelumba Itali itu sebelum ini pernah memulakan perlumbaan di petak utama dan menaiki podium di Litar Ricardo Tormo pada tahun 2017 ketika berlumba dalam kelas Moto2.

“Selepas kemenangan kedua musim ini di Aragon, saya merasa gembira dapat berlumba berlumba dalam tiga perlumbaan terakhir tahun ini. Valencia boleh menjadi litar yang sukar ketika menunggang motosikal kelas MotoGP kerana ia sempit dan motosikal MotoGP mempunyai kuasa yang tinggi berbanding dengan kelas yang lain.

“Bagaimanapun, ia adalah tempat yang saya suka kerana di situlah saya membuat langkah pertama saya ke sukan permotoran berkuasa besar iaitu Kejuaraan Sepanyol. Saya berasa selesa dengan motosikal saya, kami akan berusaha untuk mengekalkan prestasi yang sama di litar ini dan bersaing untuk mendapat tempat teratas.

“Kami ke sana dengan hanya 25 mata di belakang pendahulu kejuaraan setakat ini, jadi saya mahu lebih agresif dalam perlumbaan terakhir musim ini di Valencia dan Portimao dan melihat sejauh mana ia dapat dicapai,” kata Morbidelli.

Perlumbaan hujung minggu ini akan menyaksikan peluang pasukan Petronas Yamaha SRT untuk dinobatkan sebagai Pasukan Bebas Terbaik manakala Yamaha sebagai juara kategori Pengeluar. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas