Biz

Peluang usahawan menukar invois kepada tunai

Baryusamzlino Abdul Jabar (kiri) menyerahkan sumbangan sebanyak RM2
- Diterbit 24 Oktober 2022 1:48 PM MYT

INVOIS atau bil ialah dokumen perdagangan yang dikeluarkan oleh penjual kepada pembeli sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan.

Invois mensyaratkan pembeli membayar kepada penjual mengikut terma-terma dengan tempoh masa bagi melunaskan pembayaran tersebut.

Bagaimanapun bagi sesetengah penjual mereka memerlukan bayaran dalam tempoh waktu yang singkat untuk pelbagai tujuan.

Apakah penjual mempunyai alternatif menukar invois kepada bentuk tunai?

Persoalan inilah yang dibincangkan dalam program anjuran Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya bertajuk Menukar Invois kepada Tunai di sini baru-baru ini.

PENGARAH WISE, Baryusamzlino Abdul Jabar (kiri) menyerahkan sumbangan sebanyak RM2,500 kepada DPIM Putrajaya yang diwakili Pengerusinya Muhamad Khanafi Husin (kanan) dan disaksikan oleh Timbalan Presiden DPIM pusat, Abdul Mohsein Mohd Shariff sempena Mesyuarat Agong DPIM Putrajaya yang ke 17 tahun di Cyberjaya baru-baru ini.

Program tersebut diadakan sempena majlis Mesyuarat Agong DPIM Putrajaya yang ke 17 dan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi DPIM Putrajaya, Jamal Jermi.

Hadir sama Pengerusinya Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin, Timbalan Presiden DPIM pusat, Abdul Mohsein Mohd Shariff, ahli-ahli DPIM Putrajaya yang terdiri di kalangan usahawan.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Syazali Abdul Khalil dari FinasHere anak syarikat Kumpulan Privasia Technology Berhad berkata, syarikatnya yang beribu pejabat di Petaling Jaya menawarkan perkhidmatan tersebut.

Tujuannya adalah untuk membantu usahawan yang berskala kecil dan sederhana meneruskan aktiviti perniagaan secara konsisten.

“Tawaran menukar invois kepada tunai fokus kepada syarikat dalam kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) untuk dimanfaatkan bagi tujuan pengembangan perniagaan, pusingan modal dan bayaran utiliti semasa.

“Contoh kaedah yang digunakan, penjual akan mengeluarkan invois apabila membekalkan barangan atau perkhidmatan dan pembeli lazimnya akan mengikat janji membuat bayaran dalam tempoh tiga bulan atau bersamaan 90 hari.

“Jika penjual mahu menggunakan tunai kurang daripada tempoh masa tersebut mereka boleh ke Finanshere yang menawarkan tukaran invois kepada tunai.

“Jumlahnya sebanyak 80 peratus daripada nilai keseluruhan bayaran invois yang dikeluarkan oleh pembeli,” katanya.

AHMAD Syazali Abdul Khalil dari Finashere ketika menyampaikan taklimat kepada usahawan – Menukar Invois Kepada Tunai sempena Mesyuarat Agong DPIM Putrajaya yang ke 17 tahun di Cyberjaya baru-baru ini.

Beliau menambah, alternatif tersebut lebih popular daripada pergi ke pihak ke tiga seperti perbankan atau pinjaman wang berlesen kerana di Finanshere proses pembayaran lebih ringkas dan pantas.

“Kelulusan bayaran juga terjamin dan mengikut piawaian pinjaman kerana tidak memerlukan apa-apa bentuk gadaian malah patuh syariah. Malah mana-mana SME yang berminat hanya perlu mengimbas invois dan email kepada kami untuk tujuan pemprosesan.

“Menariknya SME yang berminat boleh memohon kaedah menukar invois kepada tunai tanpa had asalkan mengikut terma kerana pihak kami juga mengenakan caj kepada setiap transaksi mengikut terma dan syarat yang dipersetujui bersama.

“Invois pembeli juga tidak terhad kepada tender kerajaan atau agensi berkaitan kerana kami juga menerima invois dari syarikat swasta dan persendirian,” katanya.

Pada majlis yang sama turut berlangsung penyerahan sumbangan sebanyak RM2,500 daripada World Integrated Supply Ecosystem Sdn Bhd (WISE) yang diwakili oleh Pengarahnya Baryusamzlino Abdul Jabar kepada DPIM Putrajaya yang diwakili oleh Pengerusi Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin dan disaksikan oleh Timbalan Presiden DPIM pusat, Abdul Mohsein Mohd Shariff.

WISE merupakan sebuah syarikat tempatan bertaraf global dengan mempunyai rangkaian niaga antarabangsa bagi pasaran di negara-negara Eropah terutama import dan eksport produk makanan halal dan DPIM Putrajaya adalah rakan perantaraannya.

Untuk keterangan lanjut mengenai menukar invois kepada tunai , pihak SME boleh menghubungi Hadi Pilus di talian 017 2248222. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas