Berita

Peluang Kedua versi Bahiyya Haneesa beri kelainan

|
- Diterbit 29 Januari 2021 7:10 AM MYT

LAGU Peluang Kedua nyanyian asal Nabila Razali yang mendapat sambutan luar biasa turut menjadi pilihan kumpulan acapella popular, Bahiyya Haneesa.

Semestinya mahu tampil dengan kelainan, Haneesa tetap menjadikan kekuatan elemen harmoni dalam nyanyian mereka sebagai nyawa untuk lagu ini. 

Hakikatnya, identiti itulah yang membezakan kumpulan ini dengan penyanyi lain. Justeru, tidak timbul isu tiru-meniru setiap kali menyanyikan lagu penyanyi lain.

Namun begitu, Bahiyya Haneesa masih mengekalkan melodi asal lagu ini tanpa melakukan gubahan berlebihan. Ini disebabkan, lagu itu sendiri sudah cukup indah dan hanya memerlukan gubahan yang tersendiri mengikut identiti nyanyian mereka. Mengambil versi Peluang Kedua yang menampilkan MK K-Clique, elemen rap tentu lebih menghidupkan lagu ini.

“Kami pilih lagu ini sebab sekarang memang tengah popular dan boleh dikatakan budak kecil pun hafal. 

“Jadi kami gunakan kelebihan ini untuk berikan semua pendengar sedikit kelainan. Pendengar boleh nyanyi dengan melakukan harmoni sekali dan bukan semata-mata menyanyikan liriknya sahaja.

“Apa yang menariknya daripada segi pembikinan Peluang Kedua versi acapella ini adalah kami bertungkus-lumus bersama penerbit iaitu Kelana untuk menghasilkan susunan semula muziknya. Tidak ketinggalan, kami berkerja-keras untuk menetapkan bahagian harmoni, ‘beatbox’, serta rap,” kata mereka.

Apapun, paling penting adalah Haneesa cukup seronok dengan hasil akhir versi baharu Peluang Kedua mereka itu. 

Bagi mereka, kepuasan itulah yang dicari apalagi mereka sentiasa berbesar- hati bereksperimen terhadap karya orang lain. Mereka cuma mengharapkan versi itu berjaya memikat halwa telinga pendengar.

“Kami sangat gembira apabila semua ahli Haneesa dapat menyanyikan lagu ini dengan gaya tersendiri. Semua bahagian diberikan suntikan terperinci dan sangat istimewa dalam cara yang tersendiri. Yang pasti, kami berikan sepenuh hati dalam bahagian masing-masing.

“Kami akur dan tahu genre acapella masih terlalu kurang mesra atau boleh dikatakan asing di telinga pendengar Malaysia. 

“Namun, pastinya ada pengikut serta penggemar untuk genre sebegini. Jadi, kami harap korang semua suka dengan lagu yang diberikan nafas baru ini dan seronok dengan kelainan kami tampilkan,” kata Haneesa.

Kumpulan acapella serba berbakat ini dianggotai Wafa Amira (Wafa), Waheeda Batrisyia(Bon), Nurul Amaninah(Nina), Nor Suhaida(Suha), Nor Afiqah(Afi), Nur Fatin(Fatin), Saidatul Syahirah(Syasya) dan Siti Nabilah,(Bella). 

Mulanya tampil sebagai kumpulan nasyid, mereka kini semakin terbuka mencuba muzik yang lebih versatil dan pelbagai termasuk pop serta rap. 

Mereka juga aktif membuat cover beberapa lagu popular seperti Jennie- Solo, Alan Walker’s- Lily dan On My Way serta Blackpink- Kill This Love dan setiap video cover ini telah meraih jutaan tontonan di Youtube. 

Bahiyya Haneesa juga telah melancarkan single terbaru mereka “Percaya” pada tahun lalu dan telah menjadi lagu tema SAFI Shayla’s untuk kempen jenama tersebut.

‘Peluang Kedua’(2021) boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas