Artikel

Pelancongan rancak, pekerja kurang!

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri (dua, kanan) menyambut ketibaan pengembara antarabangsa sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Abu Dhabi, Qatar pada hari pertama Malaysia membuka pintu sempadan negara kepada pengembara antarabangsa melalui laluan udara dan darat baru-baru ini.
- Diterbit 14 April 2022 7:15 AM MYT

INDUSTRI pelancongan dan hospitaliti antara sektor ekonomi yang paling teruk terjejas ketika pandemik COVID-19 melanda. Industri ini melalui zaman suram dengan banyak fasiliti pelancongan ditutup atau gulung tikar terus. Akibatnya ramai pekerja hilang kerja.

Pelbagai sekatan yang terpaksa dikenakan oleh kerajaan demi mengekang penularan COVID-19 seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penutupan sempadan negeri dan sempadan antarabangsa menyaksikan industri ini tidak dapat bergerak.

Rantaian kesannya begitu ketara menjejaskan pelbagai sektor. Agensi pelancongan dan pengembaraan (travel and tours), pusat-pusat pelancongan, inap desa serta hotel, pemandu pelancong dan pengusaha bas pelancongan bagaikan lumpuh.

Sekatan pergerakan menyebabkan rakyat tidak boleh pergi melancong atau makan angin. Pelancong luar tidak boleh memasuki negara ini.

Bagi Adi ini merugikan kerana mereka adalah penyumbang besar kepada industri pelancongan negara.

Akibatnya, pemain industri tidak dapat bertahan. Berpuluh hotel ditutup, termasuk hotel terkenal di seluruh negara, tidak terkecuali Wilayah Persekutuan.

Begitu juga banyak resort dan destinasi pelancongan terpaksa menamatkan operasi. Agensi-agensi pelancongan dan pengembaraan menanggung kerugian bukan sedikit.

Ekoran itu ramai pekerja sektor pelancongan melalui zaman gelap apabila ditamatkan perkhidmatan. Angka ini mencecah ribuan. Ini tidak dapat dielakkan. Apabila hotel atau destinasi pelancongan gulung tikar, pekerja turut menjadi mangsa.

Jika ada yang masih boleh bertahan pun, mereka hanya menyimpan sejumlah kaki tangan yang sedikit sementara keadaan kembali pulih. Ke manakah mereka yang dibuang ini pergi mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan?

Ada yang bekerja sendiri, ada pula yang menceburi bidang baharu sebagai peniaga atau penjaja. Di Wilayah Persekutuan khususnya, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyediakan peluang kepada warganya yang terjejas akibat COVID-19 untuk berniaga.

Untuk itu lebih 1,000 kios perniagaan dibuka di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, di luar atau dalam bangunan.

Adi melihat ini sebagai usaha serius membantu mereka yang terkesan. Selain itu Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB) diperkenal. Mereka yang terjejas boleh mendirikan gerai di kawasan pilihan tetapi mesti mendapat lesen daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kini setelah PKP dimansuh dan sektor ekonomi dibuka sepenuhnya, juga sempadan negara, industri pelancongan dan hospitaliti kembali rancak.

Pelancongan dalam negeri semakin aktif, kemasukan pelancong asing semakin rancak. Adi rasa ramai rakyat asing rindu datang ke negara ini.

Tetapi dalam perkembangan memberangsangkan ini, sektor yang suatu ketika terpaksa membuang pekerja, kini kekurangan pekerja pula, baik di hotel, atau fasiliti pelancongan yang lain, juga makanan dan minuman (foods and beverages).

Memetik Pengarah Kumpulan Sumber Manusia dan Latihan DHS Academy Sdn Bhd, Dr S Sri Kumar dalam temu bual dengan Wilayahku minggu lalu, inilah cabaran besar dihadapi industri perhotelan masa kini bagi mencari pekerja atau meyakinkan golongan muda bekerja dalam sektor itu

Beliau mengakui, ketika pandemik banyak hotel ditutup dan pekerja ditamatkan perkhidmatan disebabkan syarikat perhotelan terpaksa berjimat memandangkan kos buruh yang tinggi. Mereka tidak mampu menanggung beban kos ini.

Kini apabila memasuki fasa endemik dan sektor ekonomi dibuka sepenuhnya, serta hotel mula dibuka kembali, dianggar terdapat hampir 7,000 kekosongan dalam industri perhotelan yang perlu diisi. Hotel yang sebelum ini ditutup pun ada yang kembali beroperasi.

Dengan jaminan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiada lagi PKP dan penutupan sektor ekonomi selepas ini, Adi yakin sektor perhotelan dan fasiliti pelancongan tidak bimbang perniagaan mereka akan terjejas teruk seperti sebelum ini. Kerana itu mereka kembali beroperasi semula dengan yakin.

Cuma isunya sekarang untuk mencari pekerja. Mungkin ada sebahagian daripada yang telah diberhentikan dahulu bersedia kembali jika diberi tawaran memuaskan. Ini tentu memudahkan kerja pihak hotel kerana mereka orang lama yang sudah terlatih serta berkecimpung lama dalam bidang berkenaan.

Namun bagi mereka yang telah mempunyai pekerjaan lain, bekerja sendiri atau berniaga mungkin sukar juga untuk memujuk mereka kembali bekerja.

Mereka mungkin sudah selesa dengan apa yang mereka lakukan sekarang, apatah lagi jika mereka beroleh pendapatan lebik baik dengan menjadi bos sendiri.

Untuk mengambil tenaga kerja baharu juga tidak mudah. Tenaga baharu tentu memerlukan latihan sedangkan industri memerlukan tenaga kerja terlatih pada kadar segera. Namun jika tiada pilihan, terpaksalah juga ini dilakukan.

Ramai pula anak muda yang kini lebih suka membuat kerja yang tidak terikat dengan waktu pejabat. Misalnya membuat perniagaan online, menjadi pemandu e-hailing, penghantar pesanan atau delivery. Mereka boleh bekerja menurut jadual fleksibel.

Mahu tidak mahu, cabaran besar ini mesti diatasi oleh industri perhotelan atau fasiliti pelancongan pada kadar segera.

Pada pandangan Adi, satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan mewujudkan kerjasama erat dan jaringan industri dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta yang ada menawarkan kursus-kursus dalam bidang perhotelan dan pelancongan.

Antara institusi yang sudah sekian lama menawarkan kursus ini dan dianggap sudah established dan dikenali ramai ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM). Kursus ditawarkan melalui Fakulti Hotel dan Pengurusan Pelancongan.

UiTM menawarkan kursus pengurusan hotel, penyediaan makanan dan pengurusan pelancongan sejak masih dikenali sebagai Institut Teknologi Mara. Ramai lulusannya diserap ke dalam industri pelancongan atau hotel seluruh negara.

Universiti Utara Malaysia (UUM) juga menawarkan kursus pelancongan melalui Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM). Universiti Malaysia Kelantan (UMK) juga menawarkan kursus sama melalui Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan.

Kelebihan para pelajar IPTA dan UiTM khususnya ialah mereka perlu menjalani latihan industri dalam tempoh pembelajaran sebagai syarat keperluan kursus. Latihan ini dipergunakan sepenuhnya untuk memahami selok-belok industri secara ‘hand on’.

Ini sangat penting untuk melengkapan diri dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang perhotelan atau pelancongan dan merupakan aset berharga selain daripada ilmu yang ditimba dalam bilik kuliah.

Sementara kuliah menyediakan pelbagai pengetahuan asas serta teori mengenai industri, latihan industri memberikan mereka pendedahan kepada realiti industri.

Tiada yang lebih baik selain berada di lapangan untuk belajar kerana situasi itulah yang bakal dihadapi apabila bekerja nanti.

Kerana itu memang sesuai industri perhotelan dan pelancongan memberi perhatian kepada lulusan IPTA apabila mencari tenaga kerja baharu memandangkan mereka sudah mempunyai latihan asas.

Tidak perlu mengambil banyak masa melatih mereka. Adi percaya dengan itu permintaan untuk tenaga kerja sektor pelancongan dapat dipenuhi dengan lancar. – WILAYAHKU – ADI TUAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas