Berita

Pelan strategik lonjak semula sektor pelancongan negara

PELANCARAN Pelan Strategik dan Pemasaran Tourism Malaysia dilihat sebagai ikhtiar kerajaan dalam membantu pemain industri serta merancakkan semula ekonomi negara.
- Diterbit 4 Julai 2022 10:01 AM MYT

SELEPAS lebih dua tahun industri pelancongan antarabangsa terhenti disebabkan serangan wabak COVID-19, Tourism Malaysia telah melancarkan Pelan Strategik dan Pemasaran 2022-2026 dengan menggariskan enam tonggak utama yang dijangka mampu melonjakkan semula industri pelancongan selaras pembukaan semula sepenuhnya sempadan Malaysia bermula 1 April lalu.

Dalam satu acara di hotel terkemuka ibu negara pada 30 Mac (Rabu) lalu, Pelancaran Pelan Strategik dan Pemasaran 2022-2026 Tourism Malaysia telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan turut dihadiri, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab serta wakil penggiat industri pelancongan.

Enam tonggak dalam pelan tersebut terdiri daripada meningkatkan pelancongan domestik; menjalin perkongsian pintar ; meningkatkan promosi pelancongan dalam dan luar talian ; mengoptimumkan komunikasi strategik dan penglibatan media ; melaksanakan gelembung perjalanan dan melaksanakan transformasi strategik.

Menurut Nancy, pelan rangkaan ini memberi tumpuan kepada promosi pelancongan domestik dan pemulihan pelancongan antarabangsa dengan menekankan lebih kepada penggunaan digital, inovasi, kesihatan dan keselamatan.

“Seiring pembukaan semula sempadan Malaysia, penerbitan pelan strategik ini adalah tepat pada masanya dan ia menggariskan hala tuju strategik Tourism Malaysia dengan enam tonggak berwawasan yang bertujuan melonjakkan semula industri pelancongan selaras Dasar Pelancongan Negara 2020-2030.

“Adalah penting bagi pemain industri bersedia menghadapi permintaan dan jangkaan perjalanan pasca pandemik serta kekal fokus untuk menyokong pemulihan yang mampan dan membina semula sektor ini pada tahun-tahun akan datang.

“Pihak berkaitan juga perlu bekerjasama dalam menetapkan hala tuju baharu setanding aliran pelancongan global,” katanya.

Tambahnya, langkah bersepadu perlu disegerakan segera untuk memulih dan membina semula industri dengan strategi yang lebih inovatif.

Dalam pada itu, Nancy memberitahu, statistik ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia pada tahun 2020 menjunam sebanyak 83.4 peratus dan kira-kira empat juta pelancong dicatatkan berbanding 26.1 juta pelancong pada tahun 2019.

“Pelancongan domestik, percutian singkat, ativiti riadah berasaskan alam semula jadi serta pelancongan luar bandar kini menjadi tumpuan utama pembentukan sektor pelancongan tahun ini,” jelasnya.

Beliau berkata, Malaysia juga bersedia untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong antarabangsa dengan menyasarkan dua juta ketibaan pelancong yang bakal menyuumbang kepada pendapatan negara berjumlah RM8.6 bilion tahun ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas