Pelaksanaan PKP di Seremban, Port Dickson bermula esok hingga 1 Feb – Ismail Sabri

Pelaksanaan PKP di Seremban, Port Dickson bermula esok hingga 1 Feb – Ismail Sabri

KERAJAAN bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan selama 14 hari bermula esok berikutan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di kawasan itu.

Memperincikan perkara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan kadar insiden jangkitan di Seremban sangat tinggi dan berlaku peningkatan secara ketara dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 777 kes kepada 876 kes.

“Selain itu, kebanyakan mukim di Seremban juga adalah zon merah iaitu melibatkan tujuh daripada sembilan mukim. Bilangan kes yang dilaporkan dalam masa 14 hari di tujuh mukim dalam lingkungan 56 hingga 283 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara di Port Dickson, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak dalam tempoh 14 hari yang melibatkan beberapa kluster iaitu daripada 35 kepada 167 kes.

Pelaksanaan PKP ini adalah untuk mengekang penularan COVID-19 dalam komuniti dan mengawal pergerakan di kedua-kedua daerah itu.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah hari ini.

Katanya, KKM telah melaksanakan 516 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 53 kes positif COVID-19 direkodkan.

“KKM turut mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini terkawal dengan kes terakhir direkodkan adalah pada 11 Jan dan tiada lagi sampel menunggu keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 785 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) termasuk 765 individu dikompaun, 19 direman manakala seorang diikat jamin semalam.

Kesalahan tertinggi direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka melibatkan 250 individu, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (165), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (137), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (38), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (31) dan lain-lain (164).

Mengenai Operasi Benteng pula, pihak berkuasa menahan 33 pendatang tanpa izin dan merampas empat kenderaan darat semalam. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS