Berita

Pelajar sekolah diberi kelonggaran berambut panjang dalam tempoh PKP – Ismail Sabri

- Diterbit 15 Januari 2021 1:13 PM MYT

PELAJAR lelaki yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia 2020 dan 2021 yang akan ke sekolah di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 20 Jan ini akan diberikan kelonggaran jika berambut panjang.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara hari ini yang bersetuju bahawa tiada tindakan dikenakan kepada pelajar berambut panjang.

“Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah buat membuat keputusan hasil perbincangan dengan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa walaupun berambut panjang, pelajar dibenar ke sekolah tanpa tindakan guru kerana kedai gunting masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata sektor ekonomi membabitkan kedai gunting rambut di kawasan terbabit masih ditutup selama dua minggu dan akan dinilai Kementerian Kesihatan bergantung kepada situasi semasa penularan pandemik COVID19.

Pada sidang media yang sama, Ismail Sabri berkata institusi pengajian tinggi atau sekolah tidak boleh mengenakan syarat kepada pelajar untuk menjalani ujian COVID19 sama ada bagi memasuki asrama atau untuk menduduki peperiksaan kecuali bagi pelajar yang bergejala sahaja.

Beliau berkata terdapat aduan berkenaan isu tersebut sehinggakan pelajar terpaksa menanggung sendiri kos saringan ujian COVID19.

Sementara itu, bagi operasi kedai cermin mata, tegasnya, kebenaran telah diberikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selepas meneliti rayuan pemain industri namun hanya dibenarkan beroperasi dengan SOP yang ketat atau berdepan tindakan serta hukuman sewajarnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 Jan.

Sebahagian aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi sepanjang PKP dengan waktu operasi antara 6 pagi hingga 8 malam, kecuali bagi aktiviti tertentu termasuk restoran, kedai makan, penjaja tepi jalan dan beredar serta medan selera namun tidak boleh makan di premis berkenaan kerana hanya penghantaran, pembungkusan dan pandu lalu dibenarkan.

Selain itu, kiosk, kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai keperluan harian, dobi kecuali dobi layan diri dibenarkan dibuka dengan had waktu yang sama. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas