Fokus

Pelajar nikmati juadah berkhasiat

MAKANAN SIHAT YWP
SARAPAN percuma yang disediakan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) khusus untuk murid yang kurang berkemampuan di Kuala Lumpur. - Gambar hiasan PELAJAR yang menerima bantuan makanan menikmati makanan yang disediakan.
- Diterbit 17 Ogos 2019 8:30 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KEMISKINAN bandar khususnya di Kuala Lumpur masih tinggi walaupun negara telah merdeka lebih 60 tahun.

Malah dalam tempoh kurang daripada lima bulan menjelang 2020, masih terdapat pelajar dan murid yang tidak mempunyai duit belanja serta perlu berjalan kaki ke sekolah pada jarak kira-kira dua kilometer dari rumah.

Ekoran kesempitan dan kemiskinan yang dihadapi itu, ada yang mengambil keputusan untuk berhenti sekolah di awal usia demi membantu menyara keluarga sehingga mengakibatkan kadar keciciran pelajar sangat tinggi.

Justeru bagi memastikan pelajar dan murid sekolah tidak tercicir dan terus mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memperuntukkan RM1.6 juta bagi penyediaan bantuan makanan kepada golongan yang memerlukan pada tahun ini.

Pengurus Pembangunan Pendidikan YWP, Mohamed Firdaus Kamal Hashim Kamal berkata, program bantuan makanan telah dimulakan sejak 2016 dengan penyediaan makanan berkhasiat serta seimbang agar pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas seterusnya meningkatkan prestasi akademik mereka.

“Objektif utama kita adalah untuk mengatasi masalah ketidak hadiran ke sekolah yang berpunca daripada ketiadaan wang saku. Ada pula yang terpaksa melakukan kerja sambilan.

“Ia juga bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa pelajar terbabit,” katanya kepada WK2 baru-baru ini.

Mohamed Firdaus Kamal memberitahu, pihak YWP telah bekerjasama dengan pihak Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam pelaksanaan program tersebut.

Jelas beliau, pemilihan pelajar dan sekolah dibuat oleh pihak Jabatan Pendidikan dengan setiap pelajar yang terpilih diberikan makanan berkhasiat percuma bernilai RM5.

Tambah Mohamed Firdaus Kamal, YWP juga menyediakan bekas khas (lunch box) kepada pengusaha kantin untuk diedarkan kepada setiap pelajar terpilih pada waktu rehat.

Katanya, hidangan perlu mengandungi karbohidrat, protein, sayuran serta buah-buahan di samping penyediaan minuman sejajar dengan objektif program iaitu membantu perkembangan minda serta pertumbuhan fizikal pelajar dengan baik.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas