Berita

Pelajar kuasai teknik mudah jawab soalan SPM

PELAJAR dan guru pengiring bergambar selepas menyertai Seminar Kecemerlangan SPM anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan yang diadakan di Presint 15, Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 4 Oktober 2019 6:57 AM MYT

CEMERLANG. Seramai 400 pelajar berjaya meningkatkan keyakinan untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan setelah mengikuti Seminar Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) di Putrajaya baru-baru ini.

Rata-rata peserta me­lahirkan rasa syukur kerana terpilih untuk mengikuti program berkenaan.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11(1), Anith Najla Norazman, 17, berkata, seminar itu membantunya menguasai teknik menjawab soalan dengan lebih mendalam kerana kaedah yang diajar jurulatih lebih mudah dan senang difahami.

Justeru pelajar aliran sains tulen itu yakin dapat menjawab soalan dengan baik untuk mencapai sasaran 8A dalam peperiksaan yang bakal diduduki nanti.

Rakan sekolahnya, Sim Kai Shian,17, pula berkata, selain mempelajari teknik ringkas menjawab soalan matematik, dia dapat meningkatkan pemahaman tentang cara membuat rumusan bagi subjek Bahasa Melayu.

“Selepas menghadiri se­minar ini, saya sudah bersedia menghadapi peperiksaan SPM,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar, Muhammad Airil Shah Mohammad Ali, 17, memberitahu, buku-buku yang disediakan dalam seminar berkenaan juga banyak membantunya dalam membuat persediaan sebelum menduduki peperiksaan.

Ujarnya, dia akan cuba mempraktikkan apa yang dipelajari semasa seminar itu ketika menjawab soalan SPM nanti.

Seorang lagi pelajar, Kayshana Valluvan yang mengikuti aliran sains tulen di SMK Putrajaya Presint 9(2) berkata, perbezaan antara seminar dan sekolah adalah apa yang diajarkan guru sekolah lebih menjurus kepada buku teks.

“Jurulatih seminar ajar teknik ringkas dan masa yang diambil untuk menjawab soalan juga singkat. Setiap yang diajar juga mudah diingati kerana tidak membosankan,” katanya yang pertama kali mengikuti seminar kecemerlangan.

Bagi Husna Ab. Jalil, 17, pula, fokus utamanya dalam seminar tersebut adalah subjek Seja­rah berikutan dia agak lemah dalam subjek itu terutama melibatkan fakta.

“Bagi subjek ini, jurulatih bagi tips untuk menjawab soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Jurulatih beri jalan mudah untuk hafal seperti kaedah akronim,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Pendidikan YWP, Zaleha Dullah berkata, objektif seminar berkenaan adalah untuk membantu pelajar cemerlang yang terdiri daripada golo­ngan berpendapatan rendah (B40) menguasai teknik-teknik menjawab soalan SPM sebelum menduduki peperiksaan yang bermula bulan ini.

“Seramai 400 pelajar yang terpilih menghadiri seminar selama empat hari bermula 23 September lalu. Tujuh orang jurulatih utama yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing hadir bagi berkongsi ilmu serta teknik menjawab soalan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas