Berita

Pelajar IPT perlu kekal di kolej kediaman, elak kluster balik kampung

- Diterbit 13 April 2020 7:44 AM MYT

PUTRAJAYA – Para pelajar di institut pengajian tinggi akan terus kekal berada di kolej kediaman masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil hasil pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar tidak wujud kluster baharu sekiranya mereka pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Kita juga tidak mahu pergerakan secara besar-besaran yang akan menyukarkan pemantauan pihak PDRM.

“Saya berharap semua rakyat dan para pelajar memahami tindakan ini demi menjaga kepentingan mereka, keluarga dan masyarakat sekeliling,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau menegaskan kebajikan para pelajar IPT termasuk dari segi makan dan minum akan terus ditanggung kerajaan.

Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memberikan cadangan mereka supaya pelajar dibenarkan pulang ke kampung dalam tempoh PKP.

Perkara itu akan melibatkan pergerakan individu dalam jumlah besar iaitu hampir 80,000 pelajar seluruh negara di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas