Berita

Pekerja asing wajib buat swab Covid-19

PENJARAKAN sosial perlu terus diamalkan untuk elak penularan jangkitan Covid-19
- Diterbit 4 Mei 2020 10:23 AM MYT

PUTRAJAYA – Semua pekerja warga asing di negara ini diwajibkan menjalani saringan swab Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, langkah itu susulan peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja asing di tapak pembinaan di Ampang, Selangor.

“Mesyuarat hari ini mewajibkan semua pekerja asing di sektor perkilangan, komersial termasuk kedai makan wajib buat saringan kesihatan.

“Kos saringan akan ditanggung oleh majikan,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Beliau memberitahu, Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang memulakan ujian swab tersebut di Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Ismail Sabri menjelaskan, Kementerian Kerja Raya telah menutup tapak pembinaan di Ampang tersebut sebagai langkah perbendungan penularan wabak Covid-19.

“Kerajaan akan menutup di mana sahaja tempat berlakunya positif Covid-19 membabitkan pekerjanya sama ada tapak pembinaan, kilang atau restoran atau apa-apa perniagaan.

“Jika dikesan, kilang atau sektor itu ditutup serta-merta,”katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas