Berita

PDRM umum enam pertukaran pegawai kanan

- Diterbit 7 November 2020 4:42 AM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran enam pegawai kanannya yang berkuat kuasa esok.

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad berkata pertukaran itu antaranya membabitkan Ketua Polis Daerah Bentong Supt Yusuf Unis yang dilantik sebagai Pegawai Turus Kepolisan Komuniti Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Selangor.

Pertukaran lain melibatkan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Shamsudin Mamat menggantikan Supt Syed Basri Syed Ali selaku Ketua Polis Daerah Baling, sementara Syed Basri dilantik sebagai Pegawai Turus Operasi Darat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah.

Selain itu, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Petaling Jaya DSP Zaiham Mohd Kahar pula dilantik Ketua Polis Daerah Bentong dengan memangku pangkat Supt.

Asmawati berkata turut terlibat ialah Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang yang ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan di negeri sama.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang dilantik mengetuai jabatan itu dengan memangku pangkat Supt, katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas