Berita

PdPR: Pelajar OKU tetap komited dengan bantuan ibu bapa, guru

- Diterbit 8 Februari 2021 4:36 AM MYT

MENDENGAR penerangan guru menerusi video dalam laman YouTube dan bertegur sapa dengan rakan sekelas melalui Google Meet adalah saat paling menggembirakan bagi pelajar yang menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Namun, suasana ceria itu tidak dapat dirasai oleh pelajar OKU (orang kurang upaya) berikutan keterbatasan mereka, menyebabkan guru dan ibu bapa perlu lebih kreatif dalam memastikan PdPR dapat berjalan lancar.

Seorang ibu, Rahimah Zainal, 39, berkata kreativiti guru dan sokongan keluarga sangat penting untuk menjayakan PdPR anaknya, Danisya Amelyn Ruzaki, 17, yang mempunyai masalah pendengaran agar tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Memang susah pada peringkat awal PdPR kerana anak saya bergantung sepenuhnya kepada bahasa isyarat untuk berkomunikasi. Jika pelajar lain mungkin agak mudah menjalani PdPR kerana banyak sumber rujukan video daripada guru lain di seluruh Malaysia.

“Namun, untuk pelajar berkeperluan khas, mereka memerlukan tumpuan khusus daripada guru yang mengajar dengan penggunaan bahasa isyarat. Mahu atau tidak, kami di rumah juga perlu sentiasa membantu agar anak kekal fokus untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagi Normah Harun, 46, kesungguhan guru-guru yang mengajar anaknya, Ahmad Zubaidi Helmi, 19, sangat dihargai kerana ia bukanlah satu perkara yang mudah.

“Guru sekolah sentiasa berkomunikasi dengan ibu bapa untuk bertanyakan apa platform terbaik dalam memastikan PdPR ini berjalan lancar. Pelbagai cara kami cuba termasuk menghantar nota menerusi WhatsApp, Telegram, buat Google Meet namun pada saya yang betul-betul berkesan ialah melalui panggilan video.

“Saya lihat anak lebih mudah faham penerangan yang diberi oleh guru melalui panggilan video kerana ia lebih sesuai untuk interaksi dua hala antara guru dengan pelajar. Cuma kaedah ini memerlukan komitmen tinggi daripada guru yang terlibat kerana jumlah maksimum pelajar hanya empat orang untuk satu sesi,” katanya yang berharap sesi persekolahan secara bersemuka dapat dilaksanakan tidak lama lagi sebaik sahaja pandemik COVID-19 reda.

Sementara itu, guru yang mengajar kelas berkeperluan khas, Wan Nur Adli Tengah @ Wan Ngah, 35, berkata semua cabaran itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menabur ilmu kepada pelajar istimewa.

Beliau yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Kuala Nerus menyifatkan PdPR adalah kenangan paling manis yang tidak akan dilupakan sepanjang sembilan tahun bergelar guru kerana perlu mengajar tanpa bersemuka.

“Guru yang mengajar golongan berkeperluan khas ini, usahanya perlu berganda kerana mereka sering hilang fokus ketika sesi pengajaran di dalam kelas, apatah lagi belajar dalam talian. Dunia mereka kena mengadap saya kerana komunikasi utama mereka ialah melalui bahasa isyarat.

“Alhamdulillah hari demi hari, ada peningkatan dalam kalangan pelajar iaitu mereka sudah boleh menguasai medium teknologi PdPR ini sekurang-kurangnya satu iaitu aplikasi WhatsApp.

“Menjadi kesukaran juga kepada saya kerana tidak semua pelajar ini boleh menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira). Alah bisa tegal biasa, walaupun agak sukar, saya berharap mereka dapat meneruskan PdPR dengan bantuan keluarga di rumah,” katanya yang turut menghasilkan video pendek pembelajaran melalui Tik Tok untuk menarik minat pelajar. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas