Berita

PBBS Labuan anjur gotong-royong

ASNOIN (tiga dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada pegawai kesihatan Jabatan Promosi atas kerjasama memberikan penerangan mengenai amalan norma baharu kepada ahli PBBS Labuan. ASNOIN (tiga dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada pegawai kesihatan
- Diterbit 21 November 2021 5:30 AM MYT

SERAMAI 100 ahli Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) cawang Labuan mengadakan aktiviti gotong-royong amal membersihkan kawasan halaman perkuburan Islam di Kampung Batu Arang di sini, baru-baru ini.

Aktiviti itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Labuan menerusi Jabatan Promosi Kesihatan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu Arang.

Ketua Biro Kesihatan PBBS Labuan Sharifah Anyanjjau berkata, program itu diadakan bertujuan memupuk kerjasama di antara ahli persatuan dalam melakukan kerja-kerja amal.

“Ini merupakan program pertama yang kita lakukan, alhamdulillah sambutan dikalangan ahli-ahli yang ingin bersama-sama melakukan aktiviti amal ini amat memberangsangkan.

“Pada masa akan datang, kita di persatuan akan mengadakan program seperti ini agar persatuan ini sentiasa bergerak aktif dalam aktiviti-aktiviti amal seperti ini,” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi PBBS Labuan Asnoin Chiplin menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Biro Kesihatan yang bertungkus-lumus mengadakan aktiviti yang bermanfaat seperti ini.

“Tahniah kepada Biro Kesihatan yang telah mengadakan aktiviti gotong-royong ini dan ia harus diteruskan pada masa akan datang kerana dengan aktiviti ini ianya memberikan manfaat yang baik kepada kesemua ahli persatuan dan warga Labuan,” katanya.

Sehubungan itu, Asnoin mengesa agar ahli-ahli dalam persatuan sentiasa membantu dan bekerjasama demi memastikan hubungan silaturrahim dalam persatuan sentiasa utuh. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas