Berita

Patriot200 cabar kemampuan peserta

PATRIOT200
JISMI (tiga dari kiri), Eszeren (empat dari kanan) bersama pelari dan kru sokongan pasukan MAHAR menunjukkan model-model sandal Teva yang akan digunakan di dalam acara Patriot200 nanti.
- Diterbit 13 September 2019 10:52 AM MYT

PUTRAJAYA – Acara Ultra Marathon Patriot 200 (Patriot200) siri ke lima kembali pada tahun ini berlitarkan jalan-jalan di sekitar Seberang Perai dan Pulau Pinang.

Acara yang dianjurkan Team Pacat sejak tahun 2015 ini diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September setiap tahun.

Pengerusi Malaysian Humanitarian Aid And Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, seramai 32 orang pelari marathon ultra telah mendaftar untuk menyertai acara Patriot200 pada tahun ini dan akan memulakan larian di Simpang Ampat dan menamatkan larian di Batu Maung, Pulau Pinang.

Ujar beliau, kesemua peserta dijadualkan untuk memulakan larian pada jam 2.00 pagi tanggal 14 September 2019 dan menamatkan larian di Batu Maung selewat-lewatnya pada jam 7.00 malam keesokan harinya.

“Peserta perlu menamatkan larian sejauh 200 kilometer dalam tempoh 40 jam untuk diiktiraf berjaya menamatkan acara larian atau akan diisytiharkan tidat tamat (DNF) walaupun menamatkan jarak 200km seperti yang ditetapkan.

PATRIOT200
ESZEREN memberi penerangan kepada pelari Pasukan MAHAR, Ashraf Ahmad ciri-ciri sandal Teva yang menjadikannya sesuai untuk kegunaan rekreasi dan aktiviti lasak seperti larian Patriot200

“Kelainannya pada tahun ini adalah peserta akan menghabiskan larian sejauh 100km seorang dengan memakai sandal berjenama Teva bagi membuktikan ketahanan dan keutuhan produk jenama tersebut. Di samping empat pelari MAHAR, Prestige Sports turut menaja enam lagi kru sokongan dengan produk berjenama Lotto dan Asics, dengan nilai tajaan berjumlah lebih RM5,000,” katanya.

Menurut Jismi, kemunculan kembali di siri ke lima ini sekali lagi mendapat suntikan semangat berupa tajaan barangan sukan seperti baju dan kasut dari Prestige Sports Sdn. Bhd., pengedar barangan sukan dan rekreasi berjenama Asics, Canterbury, Lotto dan Teva yang sah di Malaysia.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Prestige Sports, Eszeren Rizal memaklumkan, sumbangan dari Prestige Sports merupakan sokongan kepada promosi gaya hidup sihat dan acara Patriot 200 di atas kelainan mereka menyambut Hari Malaysia setiap tahun.

“Kami berharap sumbangan tersebut akan memberikan semangat kepada peserta untuk menghabiskan larian dengan jayanya,” ujar beliau.

Setiap tahun, hampir separuh dari peserta akan DNF di dalam acara yang amat mencabar ini atas sebab kecederaan, melepasi tempoh larian dan penalti masa yang dikenakan kerana melanggar syarat-syarat teknikal yang ditetapkan penganjur.

Peserta boleh memilih untuk berlari secara solo, duo (dua peserta dalam satu pasukan) atau kategori trio (tiga pelari sepasukan). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas