Berita

Pasukan karate Labuan anjur perlawanan persahabatan

PASUKAN karate Labuan bersama pasukan karate Penampang Dojo. PASUKAN karate Labuan bersama pasukan karate Penampang Dojo.
- Diterbit 9 Januari 2022 8:00 AM MYT

PASUKAN Karate Labuan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Karate SUKMA Sabah menerusi Program Majal Lurih Karate Labuan yang diadakan di Kompleks Sukan Likas, Sabah, baru baru ini.

Pengurus Pasukan Karate Labuan, Aswadee Taba berkata, program tersebut telah berlangsung selama empat hari yang baru sahaja berakhir pada 30 Disember lalu melibatkan seramai 12 atlet, masing masing seorang jurulatih dan pegawai.

“Program Majal Lurih merupakan suatu inspirasi dari moto bangsa Kedayan iaitu ‘Inda Majal Inda Lurih’ yang bermaksud selagi tidak bersungguh-sungguh, selagi itulah belum mendapat hasilnya atau dalam peribahasa Melayu ‘Di mana ada kemahuan di situ ada jalan, katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Selain itu, katanya, program ini akan membincangkan matlamat pasukan karate Labuan bagi tahun 2022 dan harus membuahkan hasil daripada matlamat tersebut.

Jelasnya, perlawanan persahabatan itu bertujuan untuk mendapatkan rentak dan mengembalikan semangat peserta yang akan bersaing dan siap siaga untuk menghadapi sebarang kejohanan serta persediaan untuk pemilihan SUKMA 2022.

“Selain mengadakan perlawanan dengan skuad karate SUKMA Sabah, pasukan kami juga telah mengadakan aktiviti ‘Sinopian Water Rafting’ di Kiulu yang bertujuan untuk membina semangat sepasukan dan bersedia menyahut cabaran tahun 2022,” katanya lagi. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas