Berita

Pasar raya, stesen minyak dihadkan operasi 8 pagi – 8 malam

Restoran, khidmat penghantaran juga dipendekkan operasi dalam Fasa Kedua PKP 1 hingga 14 April
DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
- Diterbit 30 Mac 2020 7:56 AM MYT

PUTRAJAYA – Semua premis menjual barangan keperluan dan makanan akan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam dalam fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Rabu ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keadaan itu berbeza dengan sebelum ini apabila premis tersebut beroperasi sehingga pukul 12 tengah malam.

Katanya, keputusan perlaksanaan waktu operasi baharu itu hasil mesyuarat (Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berkenaan Pelaksanaan PKP ) yang turut terpakai kepada waktu operasi bagi restoran, stesen minyak dan termasuk penghantaran ke rumah.

“Bagaimanapun, pihak kerajaan mengalakkan orang ramai menggunakan pembelian secara dalam talian.

“Namun, kita menasihatkan orang ramai supaya tidak bersemuka dengan penghantar makanan tersebut.

“Kita mengalakkan makanan ditinggalkan di luar pagar dan penghantar menelefon kepada tuan rumah sebelum diambil selepas penghantar beredar. Ini cuba mengelakkan adanya pertemuan bersemuka yang boleh menyebabkan merebaknya penyakit ini (Covid -19),” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.

Fasa kedua PKP akan bermula 1 April hingga 14 April bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Beliau memberitahu, operasi bagi pengangkutan awam masih dikekalkan bermula 6 pagi hingga 10 malam dan 5 petang hingga 10 malam.

Ismail Sabri menambah, perkhidmatan e-hailing dan teksi dibenarkan beroperasi 6 pagi hingga 10 malam secara berterusan termasuk kenderaan persendirian.

“Kita memahami bahawa masih banyak kenderaan komersial yang melibatkan barangan makanan dan perubatan yang berada di atas jalan raya dari pagi hingga malam.

“Bagaimanapun, kita mengalakkan supaya kenderaan atau pengangkutan komersial ini beroperasi pukul 7 malam hingga 7 pagi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas