Berita

Pasangan ada kebenaran awal dibenar nikah sepanjang PKP – JAIM

- Diterbit 15 Januari 2021 8:15 AM MYT

PASANGAN yang mendapat kebenaran berkahwin daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di negeri itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dibenar bernikah sepanjang tempoh PKP, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka Datuk Md Azhan Samat.

Beliau berkata majlis akad nikah tersebut hanya dibenar dilakukan di PAID dengan enam orang sahaja dibenarkan berada semasa majlis tersebut iaitu wali, jurunikah, pengantin lelaki dan pengantin perempuan serta dua saksi lelaki.

“Tempoh majlis akad nikah juga hendaklah dilaksanakan dalam tempoh 20 minit sahaja termasuk khutbah nikah dan bacaan taklik, di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pasangan pengantin dari kawasan atau negeri yang diisytiharkan zon merah juga disyaratkan menjalani ujian saringan COVID-19 dengan keputusan negatif dalam tempoh tiga hari sebelum majlis akad nikah yang diadakan di Melaka.

Pendaftar Kanan Nikah Cerai Rujuk mempunyai kuasa untuk menolak permohonan mengadakan majlis akad nikah jika tatacara yang ditetapkan tidak dipatuhi pemohon atau bakal pengantin.

“Bagi semua permohonan pendaftaran perceraian dan rujuk yang benar-benar perlu sahaja boleh dihantar ke PAID melalui janji temu yang dibuat lebih awal.

“Dokumen yang lengkap hendaklah dibawa bersama dan PAID berhak menolak permohonan sekiranya tidak lengkap manakala perkhidmatan runding cara kekeluargaan secara dalam talian atau pertanyaan umum berkaitan perkahwinan, penceraian dan rujuk amat digalakkan dalam tempoh PKP ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas