Berita

‘Pangkat CEO bukan penghalang saya bersukan,’-Zaizalnizam

ZAIZALNIZAM ketika perlawanan Bola Tampar di Yayasan Sarawak International School, semalam.
- Diterbit 17 Februari 2023 5:27 AM MYT

TAMPIL mewakili Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam enam pemain barisan utama pasukan Bola Tampar Lelaki merupakan satu pengalaman cukup bermakna buat Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun.

Lebih mengagumkan, keempat-empat perlawanan peringkat kumpulan menentang pasukan Yayasan Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Selangor disertainya.

Menurut beliau, pengalaman mewakili universiti dalam Kejohanan Bola Tampar mendorong dirinya untuk membantu pasukan YWP pada PESAYA 14 ini.

“Semasa di universiti, saya pernah mewakili sukan Bola Tampar jadi pada PESAYA kali ini saya beriltizam untuk membantu pasukan YWP memperoleh kejayaan di samping memberikan persembahan terbaik pada setiap perlawanan ketika menentang yayasan dari negeri-negeri lain.

“Siapa kata ada pangkat CEO dan sudah berusia tidak boleh bersukan. Itu bukanlah penghalang, kalau ada semangat sukan dalam diri dan bersedia untuk membantu menaikkan nama Yayasan, perkara itu akan jadi mudah.

“Bermain dalam enam barisan utama juga bukan satu perkara mudah. Ia memerlukan strategi, fokus dan stamina yang cukup banyak. Apatah lagi YWP perlu menentang ketiga-tiga pasukan yang sangat hebat dalam sukan Bola Tampar,” katanya kepada Wilayahku selepas perlawanan menentang pasukan Sarawak, semalam.

Mengulas mengenai bola tampar, Zaizalnizam berkata kesemua pasukan memberi saingan yang cukup hebat namun berpuas hati dengan persembahan permainan yang dipamerkan oleh setiap ahli pasukannya.

“Kita adalah tim underdog yang mana ini adalah kali pertama YWP menyertai pertandingan sukan bola tampar dan saingat juga amat sengit.

“Sungguhpun begitu, saya tetap bangga kerana pada perlawanan menentang pasukan Yayasan Kelantan, kita tetap berjuang sehingga habis dan dapat mengejar mata di separuh masa kedua sehingga berjaya merekod mata tidak jauh dari pasukan pihak lawan iaitu sebanyak 20-25.

Insya-Allah PESAYA akan datang kami akan berikan yang terbaik dan membuat persiapan lebih awal,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh kakitangan yang sentiasa memberi sokongan pada setiap perlawanan sukan.

Terdahulu, pasukan Bola Tampar Lelaki YWP tewas kepada Yayasan Selangor (2-0); Yayasan Negeri Sembilan (2-0); Yayasan Kelantan (2-0) dan Yayasan Sarawak(2-0) dalam perlawanan Bola Tampar, Pesta Sukan Negeri Se-Malaysia (PESAYA) ke-14 di Yayasan Sarawak International School. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas