Panggung Bandaraya lambang kemegahan bangunan ikonik

BERUSIA lebih satu abad, Panggung Bandaraya merupakan antara panggung yang tertua di Malaysia. Terletak berhampiran kompleks bersejarah Bangunan Sultan Abdul Samad, bangunan
ikonik yang dibina sejak zaman kolonial British oleh arkitek bernama Bension Hubback pada 1896 ini siap sepenuhnya pada 1904.

Bangunan cantik berciri Moor ini pernah melalui zaman kegemilangan tersendiri sehingga menjadi tumpuan ramai penggiat seni dan teater untuk mementaskan karya. Seiring berlalunya waktu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif menaiktaraf panggung ini sekali gus meletakkannya dalam senarai antara panggung tercanggih di Malaysia.

PANGGUNG Bandaraya mampu menempatkan lebih 300 penonton dalam satu masa.

Antara kerja baik pulih dijalankan ialah menerapkan kemasan mewah, menghiasi bahagian dalam selain kelengkapan dan kemudahan untuk menggabungkan sistem bunyi dan lampu pentas terkini bagi pementasan drama mahupun teater.

Yang pastinya usaha untuk memastikan keanggunan panggung sepanjang zaman ini cukup menarik perhatian penonton untuk mengunjunginya. Lebih-lebih lagi di sini juga sesuai untuk diadakan pementasan teater dan muzikal berskala besar.

Ternyata usaha yang dilakukan oleh DBKL tidak sia-sia apabila ia membuka peluang luas kepada penggiat seni untuk berkarya di samping pelancong asing pula dapat menikmati produk kesenian khususnya seni persembahan pentas.

Keunggulan sepanjang zaman

LEBIH 150 acara kesenian berjaya dipentaskan bermula tahun 2004 yang merangkumi kesenian pelbagai kaum dan genre persembahan seperti Teater Bangsawan, Teater Tradisional Mak Yong, Orkestra Klasik Cina dan sebagainya.

Menariknya, acara yang disusun Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL ini dibuka secara percuma kepada warga kota untuk menikmati hiburan di waktu senggang.

Menurut Pengarahnya, Mohd Nazam Harun, persembahan yang diadakan secara percuma ini seperti tanggungjawab sosial korporat (CSR) DBKL kepada masyarakat.

“Kalau diikutkan warga kota ramai yang terdedah kepada tekanan seharian sama ada di pejabat mahupun di rumah. Jadi, dengan adanya program seperti ini maka ia dapat menenangkan perasaan sejenak.

“Kebiasaannya kita juga akan berkolaborasi dengan pelajar universiti tempatan mahupun swasta untuk menghidupkan program ini yang mana kos pengurusan acara ditanggung sepenuhnya oleh pihak bandaraya,” ujarnya kepada Wilayahku.

MOHD NAZAM

Mampu menempatkan lebih 300 penonton dalam satu masa, Panggung Bandaraya ini juga mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pembuat filem, iklan dan drama untuk dijadikan lokasi penggambaran.

“Beberapa rancangan realiti seperti ‘Malaysian Idol’ dan ‘So You Think You Can Dance’ juga pernah diadakan di panggung yang merupakan sebahagian penting daripada sejarah ibu kota ini.

“Dalam usaha untuk mempromosi Kuala Lumpur sebagai pusat dan destinasi kegiatan Seni dan Budaya, DBKL menjemput semua penerbit, kumpulan teater, syarikat dan penggiat budaya dengan kadar penyewaan istimewa,” ujar Nazam.

Tambah beliau lagi, programprogram kesenian ini diharap akan dapat merealisasikan harapan dan hasrat DBKL untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Budaya yang dikagumi semua.

“Bukan sahaja menarik warga kota yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama bahkan diharap pelancong-pelancong luar juga datang untuk menikmati produk kebudayaan dan kesenian yang tinggi nilai estetikanya,” ujar beliau.

PANGGUNG CANGGIH

Panggung yang berada di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja ini bukan sahaja lengkap dari segi kelengkapan yang canggih setara dengan panggung lain yang terdapat di ibu kota bahkan ia turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Menurut Mohd Nazam lagi, ruang luas di dalam panggung ini dimanfaatkan sepenuhnya dengan bahagian-bahagian tertentu yang wajib ada bagi sesebuah panggung terkemuka di dalam mahupun luar negara.

PANGGUNG tertua di Malaysia yang terletak berhampiran kompleks bersejarah Bangunan Sultan Abdul Samad.

“Ia mempunyai lobi, Galeri Di Raja, bilik tetamu kenamaan, bilik menunggu, kaunter tiket dan tempat yang boleh memuatkan sehingga 320 orang, ruang orkestra yang boleh dinaikkan separas dengan pentas dan lapan buah bilik persalinan,” ujarnya.

Selain kemudahan panggung, pengunjung juga mudah mengakses laluan ke sini dengan menggunakan pengangkutan awam.

“Mereka hanya perlu berjalan kaki kira-kira lima minit dari stesen transit aliran ringan (LRT) atau menggunakan kenderaan persendirian yang mana tempat letak kereta turut disediakan di sepanjang sungai dan seberang jalan bangunan DBKL,” katanya.

CATEGORIES