Berita

Panggung Bandaraya bakal dibuka semula pertengahan tahun ini

INILAH bangungan Panggung Bandaraya yang bakal dibuka semula kepada orang ramai menjelang pertengahan tahun ini. INILAH bangungan Panggung Bandaraya yang bakal dibuka semula kepada orang ramai menjelang pertengahan tahun ini.
- Diterbit 9 Januari 2020 10:28 AM MYT

KUALA LUMPUR – Panggung Bandaraya yang terletak di hadapan Dataran Merdeka di sini bakal beroperasi dan dibuka semula kepada orang awam menjelang sambutan Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020 pada pertengahan tahun ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, bangunan tersebut telah diserahkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk diuruskan semula oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.

”Panggung Bandaraya ini merupakan salah satu daripada 22 bangunan awam yang diwartakan sebagai bangunan warisan dan merupakan teater tertua di Malaysia.

KHALID
KHALID (tengah) meninjau keadaan di Panggung Bandaraya di Kuala Lumpur petang tadi.

”Panggung teater bersejarah yang pernah menjadi tumpuan seni suatu ketika dahulu diharap akan menjadi tarikan dan tumpuan peminat seni, pelancong dalam dan luar negara,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya di sini hari ini.

Terdahulu, Khalid meninjau kerja-kerja awalan baik pulih Panggung Bandaraya Kuala Lumpur tersebut bersama-sama pegawai kementeriannya dan DBKL.

Panggung Bandaraya yang terletak berhampiran simpang Jalan Tun Perak dan Jalan Raja dibina pada tahun 1896 dan siap pada tahun 1904. Ia telah direka oleh arkitek British, Arthur Benison Hubback yang turut bertanggungjawab mereka bentuk Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Masjid Jamek Kuala Lumpur serta beberapa struktur kolonial lain di Lembah Klang.

KHALID melihat kesan kebakaran pada dinding di bahagian dalam Panggung Bandaraya.

Panggung Bandaraya pernah menjadi tumpuan ramai penggiat seni dan teater untuk mementaskan karya mereka. Bagaimanapun, kejadian kebakaran yang berlaku pada 1992 memusnahkan seluruh bahagian dalam dewan teater berkenaan sebelum DBKL melakukan kerja-kerja pembaikan, pengubahsuaian dan naik taraf. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas