Biz

Pakej Rangsangan Ekonomi AIM berjumlah lebih RM682 juta

Pengeluaran Simpanan Wajib semua Sahabat secara one-off dengan had pengeluaran RM300
SHAMIR
- Diterbit 25 Mac 2020 10:04 AM MYT

PUTRAJAYA – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat), memperuntukkan sejumlah RM682,357,904 sebagai Pakej Rangsangan Ekonomi untuk Sahabat AIM kembali pulih bagi meneruskan kehidupan berikutan penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengumuman tersebut dibuat Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz dalam satu pekeliling yang dikeluarkan hari ini sejurus selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas yang turut dihadiri Pengerusi Koop Sahabat, Mohd. Najib Mohd. Noor.

Jelas beliau, Pakej Rangsangan Ekonomi Peringkat AIM dan Koop Sahabat meliputi penangguhan kutipan bayaran balik mingguan sehingga 30 Mei tanpa sebarang caj yang melibatkam 373,815 Sahabat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM555 juta.

“Kita juga membenarkan pengeluaran Simpanan Wajib (SW) semua Sahabat secara one-off dengan had pengeluaran sebanyak RM300 setiap seorang melibatkan RM112.5 Juta.

“Selain itu, penangguhan bayaran ansuran i-Lestari dan i-Usahawan Koop Sahabat selama tiga bulan tanpa sebarang caj tambahan untuk 400 peminjam berjumlah RM300,000 dan penangguhan Lelongan Sahabat Ar-Rahnu melibatkan 1,500 peminjam atau pencagar berjumlah RM120,000 sehingga tamat tempoh PKP,” katanya.

Menurut Shamir, pihaknya juga akan melakukan pengagihan Zakat Perniagaan Koop Sahabat berjumlah RM621,104; Dana Bantuan Kebajikan AIM berjumlah RM2.6 juta dan Dana Faedah Korporat AIM berjumlah RM1.14 juta kepada 17,444 Sahabat Asnaf terpilih dengan kadar RM250 seorang melibatkan keseluruhan dana berjumlah RM4,361,104.

Katanya, pada masa sama Sahabat AIM iaitu doktor, jururawat, atendan kesihatan, jurucuci dan barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) ditawarkan penggunaan Carlton Hotel Koop Sahabat secara percuma melibatkan 80 bilik selama lapan hari yang berjumlah RM76,800.

“Kita turut membuat penyediaan makanan ‘Ready to Eat Sahabat Retort’ kepada petugas barisan hadapan KKM sebanyak 515 bungkus di samping memperuntukkan Pinjaman Tabung Kumpulan (PTK) membabitkan 10,000 Sahabat AIM dengan had maksima RM1,000 setiap pinjaman yang melibatkan jumlah keseluruhan RM10 juta,”ujarnya

Tambah Shamir, AIM sangat prihatin terhadap kesan negatif akibat penularan wabak Covid-19 yang telah menjejaskan aktiviti-aktiviti ekonomi Sahabat AIM. Malah PKP yang berkuatkuasa 18 Mac lalu juga memberi kesan kepada mata pencarian mereka sehingga berdepan kesukaran untuk membuat bayaran balik pinjaman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas