Berita

Pakar kesihatan Jepun syor penganjuran Olimpik Tokyo tanpa penonton

PIHAK kerajaan Jepun sedang mempertimbangkan untuk menetapkan jumlah penonton kepada 10,000 atau tidak melebihi 50 peratus di setiap kemudahan meskipun pakar kesihatan mengesyorkan penganjuran tanpa penonton. Kredit foto oleh: Bernama BERTENTANGAN dengan pihak kerajaan yang sedang mempertimbangkan untuk menetapkan jumlah penonton kepada 10,000 atau tidak melebihi 50 peratus di setiap kemudahan. Kredit foto oleh: Bernama
- Diterbit 18 Jun 2021 6:35 AM MYT

PANEL pakar Jepun mengenai pandemik COVID-19 pada Jumaat mengatakan adalah lebih baik Olimpik Musim Panas di Tokyo dianjurkan tanpa penonton secara langsung.

“Menganjurkan sukan tanpa kehadiran penonton meminimumkan risiko jangkitan di stadium dan cara paling selamat untuk ia berlangsung,” kata para pakar dalam laporan yang disampaikan kepada panitia penganjur, lapor Sputnik memetik Kyodo News.

Pandangan ini, bagaimanapun, bertentangan dengan hasrat kerajaan yang ketika ini sedang mempertimbangkan untuk menetapkan jumlah penonton pada acara sukan itu kepada 10,000 orang, atau tidak melebihi 50 peratus di setiap kemudahan.

Sukan Olimpik Musim Panas di Tokyo pada awalnya dijadualkan pada 2020 tetapi ditangguhkan ke musim bunga tahun lalu di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Acara itu akan berlangsung pada musim panas ini, dari 23 Julai hingga 8 Ogos. Ia dirancang dengan  bilangan acara terbesar, sejumlah 33 disiplin dan 339 kategori. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas