Artikel

Pak Samad dan mogok seni

PAK Samad hilang dari radar sastera selama lima tahun di mana beliau tidak menulis, hadir atau menyertai mana-mana acara sastera kerana melancarkan mogok seni.
- Diterbit 20 Mei 2022 7:30 AM MYT

SEWAKTU bersembang dengan beberapa kawan di Restoran Langkawi, Central Market, saya sudah terdengar isu Sasterawan Negara A Samad Said melancarkan mogok seni.

Ada juga yang bercakap tentang tindakan luar biasa Pak Samad. Tetapi ketika isu mogok seni mula diperkatakan agak lama juga saya tidak bertemu Pak Samad di Central Market.

Pada tanggapan saya tidak mungkin disebabkan mogok seni Pak Samad tidak menyusur di jalan-jalan di perut Kuala Lumpur seperti biasa. Atau berjumpa penulis-penulis muda di Central Market.

Saya fikir mogok seni tidak termasuk perkara-perkara ini. Saya cuba membayangkan lima tahun Pak Samad tidak menulis. Barangkali dalam jangka masa itu sudah dapat melahirkan satu atau dua novel. Tetapi bagaimana Pak Samad boleh hidup tanpa menulis? Terbukti beliau tidak boleh hidup tanpa menulis. Menulis itulah dunianya.

Ada yang berkata, Pak Samad tidak perlu mogok kerana beliau yang memilih menjadi sasterawan. Yang lain pula kata, Pak Samad ada hak untuk mogok.

Banyak sasterawan lain mungkin juga ada yang mogok, tetapi secara senyap. Tidak menulis bertahun-tahun. Malah ada yang tidak mogok sekali gus tidak menulis.

Itu bezanya Pak Samad dengan sesetengah sasterawan lain. Berhenti menulis tanpa melancarkan mogok tidak mencetus gelombang.

Pak Samad mahu mencetuskan gelombang – setidaknya menjadi percakapan tentang tindakan beliau. Malah yang penting isyarat itu sampai kepada birokrat sastera. Beliau mahu menghantar mesej ini melalui mogok seni.

Saya tidak menjangka pula isu mogok seni Pak Samad sampai kepada Ketua Pengarang Kumpulan, Zainuddin Maidin (Zam).

Tetapi tidak mustahil juga kerana Zam baik dengan Pak Samad walaupun mereka tidak pernah bekerja dalam satu pejabat.

Kalau tidak silap saya isu Pak Samad melancarkan mogok seni disiarkan beberapa akhbar mingguan. Tetapi tidak ingat akhbar yang mana satu.

Pada dekad 1980-an dan 1990- an akhbar mingguan yang agak banyak dan popular walaupun tidak seperti akhbar arus perdana – Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Zam terpagut dengan tindakan Pak Samad. Beliau melihat ada desakan-desakan tertentu yang membawa pada mogok seni. Beliau melihat mogok seni sebagai keazaman besar seorang sasterawan untuk mengubah sistem supaya lebih baik.

Suatu petang dalam tahun 1990, Zam keluar dari biliknya dan meluru ke meja saya. Beliau bertanya adakah saya tahu mengenai Pak Samad yang telah melancarkan mogok seni?

Saya jawab, ada dengar daripada kawan tetapi belum mendengar daripada Pak Samad sendiri.

“Petang ni You pi jumpa Pak Samad, interview dia. Bawa jurugambar. Kita nak pakai muka satu esok.” Tegas sahaja arahan Zam kepada saya kemudian kembali ke biliknya.

Kalau tidak dapat macam mana, rungut saya sendirian. Pak Samad bukan suka duduk di rumah, suka merayap di segala urat nadi Kuala Lumpur.

Saya hanya ada lebih kurang dua jam sahaja untuk mendapatkan dan menulis berita mogok seni kerana deadline pukul 6 petang. Ketika itu lebih kurang pukul 4 petang. Itu antara syarat untuk berita muka satu.

Saya segera membuka buku telefon dalam beg sandang mencari nombor telefon rumah Pak Samad.

Saya hanya ada rumah di Taman Seri Watan, Ampang. Pak Samad ada dua rumah, sebuah lagi di Subang Jaya.

Saya bimbang kalau Pak Samad tak ada di rumah kerana keluar berjalan-jalan di perut Kuala Lumpur seperti selalu. Tetapi memikirkan hari masih panas, tidak mungkin Pak Samad sudah keluar ke Kuala Lumpur.

Saya menelefon rumah di Ampang, kebetulan Pak Samad ada di rumah dan beliau yang menjawabnya.

Saya beritahu mahu interview pasal mogok seni dan mahu datang ke rumah di Ampang. Pak Samad dengan pantas menolak berjumpa di rumah.

Beliau mencadangkan di Central Market sahaja. Katanya, “Bapak akan naik bas turun di tepi Central Market.”

Ketika itu Pak Samad baru sahaja meletak jawatan sebagai Pengarang Sastera di Berita Harian. Beliau mencongak dengan royalti semua karyanya di DBP, tidak ada masalah untuk hidup sebagai penulis sepenuh masa.

Kata Pak Samad, gaji di Berita Harian sekitar RM5,000 (tahun 1990-an nilainya tinggi) tetapi boleh hidup dengan pendapatan tidak sampai RM1,000 sebulan.

Tetapi menurut Pak Samad, beliau menghadapi masalah untuk mendapatkan royalti setiap bulan dari DBP. Ini kerana DBP tidak membayar royalti setiap bulan.

Saya beritahu Pak Samad, lima tahun tidak menulis suatu masa yang panjang. Pak Samad segera membetulkan, bukan sahaja tidak menulis tetapi tidak akan hadir atau menyertai acara-acara sastera. Itu tujuan mogok seni. Maknanya Pak Samad akan hilang dari radar sastera selama lima tahun.

Saya menulis sebuah berita pendek untuk muka depan. Gambar Pak Samad sedang menggalas beg kanvas biru cair menjadi pilihan Zam. Itulah identiti Pak Samad – beg sandang kanvas, rambut panjang, baju T berkolar dan capal.

Isu mogok seni menjadi gelombang dalam dunia sastera selepas Utusan Malaysia menjadikan berita di muka depan. Walaupun bukan berita utama tetapi gambar Pak Samad sangat menonjol.

Jarang sekali isu berkaitan sastera dan budaya di muka depan. Zam menjadikan Utusan Malaysia berbeza dengan yang lain.

Memang benar, selama setahun Pak Samad tidak ada di majlis atau acara sastera. Tetapi mogok seni hanya bertahan selama setahun. Pak Samad kemudiannya mengakhirkan mogok seninya.

Selepas menutup mogok seni Pak Samad melahirkan buku Warkah Eropah. Buku yang diterbitkan oleh DBP secara mewah berkulit keras. Memuatkan surat-surat peribadi yang dihantar kepada keluarga terutama anak bongsunya, Az sepanjang tiga bulan menjelajah beberapa negara Eropah.

Suatu pagi ketika bersarapan di restoran Langkawi, Central Market, Pak Samad menunjukkan fail yang penuh dengan suratsurat sepanjang di Eropah. Tulisan tangan yang sangat cantik. Walaupun Az masih kecil ketika itu tetapi isu dalam suratsurat itu sangat tinggi.

Kata Pak Samad, “Johan (Tan Sri Johan Jaaffar) minta bapak bawa semua surat-surat ini.

Hendak dibukukan katanya. Bapak pun tidak tahu bagaimana. Ini kerja Johan.” Pagi itu Pak Samad dalam perjalanan ke DBP untuk berjumpa Johan yang ketika itu Ketua Bahagian Penerbitan DBP. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas