Berita

Orang ramai terharu terima bantuan kit makanan

ANGGOTA APM dan RELA menghantar bantuan kepada Simah dan Kahan di rumahnya baru-baru ini.
- Diterbit 10 April 2020 4:32 AM MYT

LABUAN – Penerima bantuan kit makanan menarik nafas lega apabila menerima sumbangan daripada  Kementerian Kewangan yang diselaras oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Labuan.

Rata-rata mereka melafazkan rasa syukur dan terharu atas pemberian bantuan itu.

Seorang warga emas, Jaimah Montil, 65, berkata, bantuan itu amat bermakna baginya dan berterima kasih kepada pihak yang memberi sumbangan.

“Allah sahaja mampu membalas jasa semua pihak yang datang sampaikan bantuan kepada saya.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana membantu rakyat yang mengalami kesukaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

JAIMAH

Pasangan suami isteri yang juga pengusaha kerepek, Simah Alidin, 52 dan Kahan Adi, 57, juga tidak dapat menahan sebak apabila menerima bantuan kit makanan yang tiba di hadapan pintu rumah mereka.

“Terima kasih banyak atas bantuan ini kerana ia meringankan beban kami sekeluarga yang terjejas.

“Sebelum PKP bermula, kami banyak terima tempahan untuk majlis-majlis kahwin dan gerai-gerai jualan. Namun sekarang semua tempahan dibatalkan.

“Walaupun hampir sebulan hilang pendapatan sekitar RM1,000, kami tetap bersyukur kerana menerima bantuan daripada agensi kerajaan lain seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI),” katanya.

Seorang lagi penerima, Sidik Emat, 62, berkata, dia terkejut apabila dikunjungi JKM dan beberapa agensi yang turut serta ketika penyampaian sumbangan bantuan itu.

“Saya terkejut ramai orang datang ke rumah untuk beri bantuan.

“Saya ucap terima kasih serta bersyukur kepada Allah atas bantuan ini. Sebelum PKP, saya hanya kerja sendiri dan mampu memperoleh sekitar RM600-700 sebulan. Sekarang, saya hanya duduk di rumah,” katanya.

SIDIK

Sementara itu, Pengarah JKM Labuan, Ansharey Matarsad berkata, penerima bantuan itu merupakan sebahagian daripada 1, 600 penerima yang diluluskan di pulau itu.

“Pihak kami masih menerima permohonan baharu dan penerima terdiri daripada pelbagai golongan seperti warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal akan menerima bantuan berbentuk makanan dan keperluan harian,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas