Berita

Orang awam diminta tidak sensasikan isu Caprice, Ebit Liew

TINDAKAN tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mereka yang menyebar, membuat kenyataan berbaur fitnah atau mengaibkan seseorang. Gambar: BERNAMA TINDAKAN tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mereka yang menyebar, membuat kenyataan berbaur fitnah atau mengaibkan seseorang. Gambar: BERNAMA
- Diterbit 19 Julai 2021 9:36 AM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang awam agar tidak mensensasikan isu mengenai tindakan seorang penyanyi rap, Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli yang mempersoalkan tindakan Ustaz Ebit Lew ketika misi kemanusiaan di Gaza, Palestin, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam kenyataan hari ini berkata tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mereka yang menyebar, membuat kenyataan berbaur fitnah atau mengaibkan seseorang.

Beliau berkata tindakan sedemikian merupakan satu kesalahan dan boleh disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

“Ia juga boleh disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Ini berikutan, isu berkenaan dikesan sedang hangat diperkatakan di media sosial. Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan diterima dan tiada kertas siasatan dibuka mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas