Berita

Ops Benteng sekat PATI menyelinap guna lorong tikus

KEUPAYAAN aset APMM terbukti berkesan dalam melaksanakan Ops Benteng. Gambar hiasan
- Diterbit 28 Mei 2020 7:37 AM MYT

PUTRAJAYA – Tindakan proaktif kerajaan dalam menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi lorong-lorong tikus membuahkan hasil dengan penangkapan 327 PATI sehingga semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu dilakukan menerusi Ops Benteng bermula 1 Mei lalu yang turut menahan 41 tekong dan tujuh individu masing-masing bagi penyeludup serta bos mereka.

Kata beliau, operasi bersepadu itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dalam mengawal ketat sempadan negara terutamanya lorong tikus.

“Ops tersebut juga berjaya mengusir 86 PATI dan tiga masing-masing bagi tekong dan kapal yang cuba memasuki perairan negara.

“Kita memang serius kawalan sempadan negara sama ada tangkap atau mengusir bagi mengelakkan penularan Covid-19 daripada warga asing susulan peningkatan pandemik itu di negara jiran ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari.

Beliau turut menegaskan Ops Benteng yang dilakukan dalam negara berjaya menangkap 1,515 warga asing.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri memberitahu, warga asing yang memiliki visa telah tamat tempoh dan menerima rawatan di hospital tidak akan dikenakan tindakan kerana sebelum ini Jabatan Imigresen ditutup akibat Covid-19.

“Sekiranya mereka mahu pulang, hanya perlu tunjukkan tiket penerbangan dan kita akan melepaskan mereka walaupun visa telah tamat tempoh.

“Bagaimanapun, sekiranya ingin terus tinggal mereka perlu membuat temu janji secara dalam talian bagi memperbaharui visa dan pas lawatan sosial mereka,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas