Berita

Operasi jentera perpaduan di negeri-negeri PKP ditangguhkan

- Diterbit 14 Januari 2021 8:04 AM MYT

OPERASI dan aktiviti jentera perpaduan iaitu Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarela (SRS), Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan di negeri-negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditangguhkan, kata Kementerian Perpaduan Negara.

Menurut kenyataan kementerian itu hari ini, arahan tersebut berkuat kuasa pada 13 Jan hingga 26 Jan ini.

KRT dan SRS di negeri-negeri yang dikenakan arahan PKP Bersyarat (PKPB) juga ditangguhkan sementara termasuk sebarang jenis aktiviti komuniti serta operasi bantuan operasi penyelamatan banjir.

“Buat masa ini, hanya KRT dan SRS di negeri-negeri PKP Pemulihan (PKPP) sahaja dibenarkan menjalankan aktiviti komuniti dan membantu operasi penyelamatan banjir mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” demikian menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lepas mengumumkan pelaksanaan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah bermula semalam hingga 26 Jan.

PKPB pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala Perlis dan Sarawak berada di bawah PKPP bagi tempoh sama.

Sementara itu, kementerian berkenaan berkata operasi Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan di negeri-negeri yang dikenakan PKP akan beroperasi selari dengan institusi pendidikan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), tabika dan taska Kemas, Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Arahan operasi itu adalah tertakluk juga kepada pematuhan SOP MKN dan KKM yang lebih ketat, katanya.

Bagi Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan di negeri-negeri yang dikenakan PKPB dan PKPP, jadual operasi ialah serentak dengan KPM dan Kemas iaitu Tabika Perpaduan akan mula beroperasi pada 20 Jan.

Taska Genius Perpaduan yang telah bermula pada 3 dan 4 Jan pula akan terus beroperasi seperti biasa, katanya.

Menerusi kenyataan itu juga, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengingatkan semua jentera perpaduan di negeri-negeri yang dikenakan PKP, PKPB dan PKPP supaya mematuhi protokol kesihatan dan SOP yang telah ditetapkan oleh MKN dan KKM serta arahan kerajaan negeri yang berkaitan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas