Biz

Operasi Hotel TH diteruskan UJPM mulai 1 April ini

MENARA TH. - Gambar hiasan
- Diterbit 18 Februari 2020 5:30 AM MYT

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJ) menyatakan, bahawa operasi hotel-hotel yang dipindah milik akan diteruskan di bawah anak syarikat milikan penuh UJ, UJ Property Management Sdn. Bhd. (UJPM).

TH dalam satu kenyataan memaklumkan, pengambil alihan keempat-empat hotel tersebut iaitu TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Bayan Lepas, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu akan bermula 1 April ini.

“Kesemua hotel ini adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu syarikat
tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 billion pada hari pemindahan.

“UJ telah menerbitkan sukuk sejumlah RM19.6 billion dan membayar RM300 juta tunai bagi melengkapkan transaksi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, penubuhan UJPM merupakan salah satu langkah untuk memastikan kesinambungan pekerjaan serta operasi hotel memandangkan aset-aset hotel di bawah milikan TH berpindah milik kepada UJ pada Disember 2018 tanpa berlakunya perpindahan pengurusan dan kakitangan hotel.

Jelasnya, operasi hotel di bawah pengurusan baharu ini akan beroperasi seperti sedia kala dan kekal sebagai hotel patuh syariah dengan nama baharu iaitu Raia Hotel.

Ujarnya, UJ juga menyediakan dana bagi menambah baik kemudahan dan fasiliti hotel untuk memberi manfaat kepada pengunjung.

“UJ juga ingin meyakinkan orang ramai bahawa hotel-hotel miliknya boleh digunakan seperti mana yang dipraktikkan dulu semasa musim operasi haji,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas