Berita

Operasi bersepadu RumahPrihatin@GrandSeasons mula 15 Julai

ANNUAR melihat salah seorang penerima suntikan vaksin di RumahPrihatin@
- Diterbit 18 Julai 2021 12:00 PM MYT

INISIATIF RumahPrihatin@GrandSeasons atau Rumah Prihatin memulakan operasi bersepadunya pada 15 Julai bagi membantu warga Wilayah Persekutuan yang terkesan akibat penularan COVID-19 khususnya golongan miskin bandar.

Dilaksanakan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama dan sokongan sukarelawan, persatuan, organisasi korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), hotel kebajikan itu menawarkan enam komponen utama ‘WE CARE’.

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam satu kenyataan berkata, diharapkan inisiatif yang dijalankan itu dapat membantu dalam mengkoordinasikan penyaluran bantuan serta perkhidmatan dengan lebih berkesan.

“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam membaikpulih keadaan darurat kesihatan, ekonomi, mental dan fizikal rakyat yang begitu terkesan akibat pandemik COVID-19,” maklumnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan memberikan sumbangan boleh melayari laman sesawang www.yayasanwp.org/rumahprihatin atau e-mel ke [email protected]. Mereka juga boleh menghubungi helpline di talian 011-71107898; Dapur Prihatin (011-70742927); Bilik Penginapan Prihatin (011-70736458); Khidmat Kesihatan Mental Prihatin (011-70738412); Khidmat Vaksinasi Prihatin (011-70742318) atau Pusat Gerakan Jejak Prihatin (011-70738633).

Vaksinasi: Tiada warga kota tercicir

TIADA warga kota yang akan tercicir daripada program vaksinasi, malah sasaran 80 peratus imuniti berkelompak bakal dicapai menjelang Ogos ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa.

BILIK penginapan yang disediakan di Rumah Prihatin juga bakal memberikan
keselesaan kepada penghuninya.

Menurut beliau, pelbagai usaha sedang dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bagi membuka semula Kuala Lumpur sebagai pusat kegiatan ekonomi utama termasuk memastikan setiap warganya dilengkapi dua dos vaksin.

“Sekarang ini, adalah masa untuk kita turun mencari mereka yang tertinggal seperti golongan miskin dan gelandangan untuk divaksin.

“Ini juga tujuan kita menubuhkan RumahPrihatin@GrandSeasons. Ia bagi memastikan tiada warga kota yang tertinggal untuk divaksinasi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi hari pertama RumahPrihatin@GrandSeasons pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha KWP, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun dan Pengarah Hotel Grand Seasons, Datuk Ariff Shah Omar Shah.

Annuar berkata, bagi mencapai sasaran itu, satu mesyuarat diadakan bersama semua ahli parlimen Wilayah Persekutuan pada Jumaat bagi membincangkan perancangan Kuala Lumpur setelah mencapai imuniti kelompok.

“Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan dan Ahli Dewan Negara tanpa mengenal parti dilibatkan dan saya mendapatkan pendapat mereka supaya Kuala Lumpur ini akan dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu selepas kita mencapai 80 peratus imuniti berkelompok termasuklah pemerkasaan komuniti.

“Apabila pada awal Ogos kita dah capai dua dos untuk setiap warga kota, saya berpandangan kita perlu hidup bersama COVID-19 dan kita kena mula buka kegiatan di Kuala Lumpur,” katanya.

RumahPrihatin@GrandSeasons yang mula beroperasi 15 Julai menawarkan enam komponen utama iaitu Dapur Prihatin, Food Bank, Bilik Penginapan Prihatin, Khidmat Kesihatan Mental Prihatin, Khidmat Vaksinasi Prihatin dan Pusat Gerakan Jejak Prihatin selari dengan konsep Wilayah Cakna dan Wilayah Prihatin bagi membantu rakyat secara lebih proaktif. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas