Berita

Op Benteng: 2.25 tan metrik daun ketum dirampas di sempadan Malaysia-Thailand

- Diterbit 22 Oktober 2020 9:10 AM MYT

PASUKAN keselamatan yang mengawal sempadan negara menerusi Op Benteng merampas 2.25 tan metrik daun ketum bernilai RM96,157 yang cuba diseludup di sempadan Malaysia-Thailand.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis menemukan sembilan guni putih mengandungi daun ketum seberat 270kg bernilai RM8,100 yang disembunyikan di sebuah rumah di Mata Ayer, Perlis, Ahad lepas.

Pada Selasa lepas pula, pasukan Tentera Darat yang beroperasi di Durian Burung, Kedah menemukan 16 guni daun ketum seberat 480kg yang cuba diseludup ke Thailand menggunakan motosikal dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM18,400.

Semalam, pasukan Tentera Darat menahan dua tekong warga tempatan bersama daun ketum seberat 1.5 tan metrik bernilai RM69,657 di Hutan Rizab Sungai Badak dekat Bukit Kayu Hitam.

“Modus operandi tekong berkenaan adalah dengan meletakkan daun ketum tersebut di lokasi yang dirancang dengan menggunakan dua buah kenderaan sebelum diambil tekong dari Thailand,” menurut ATM.

Menurut kenyataan itu, kejayaan berkenaan merupakan hasil kerjasama ATM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, AKSEM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas