Berita

Olimpik Tokyo 2020 ditangguh

OLIMPIK Tokyo 2020 ditangguh akibat pandemik Covid-19.
- Diterbit 26 Mac 2020 3:36 AM MYT

KUALA LUMPUR – Penularan wabak Covid-19 yang sedang menyerang dunia memaksa Jawatan Kuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menunda Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos ini ke tahun hadapan.

Ahli Ketua IOC, Dick Pound dalam satu kenyataan menjelaskan, keputusan itu diambil selepas beberapa buah negara seperti Britain, Australia dan Kanada mungkin tidak dapat menghantar kontinjen mereka ke Tokyo, Jepun.

“Berdasarkan maklumat yang dimiliki IOC, penangguhan terpaksa diambil kira. Perancangan akan datang masih belum dikenal pasti tetapi Sukan Olimpik tidak akan dijalankan pada 24 Julai depan,” kata Pound.

Sebagai tuan rumah, Jepun sudah memulakan tugas untuk menyusun semula penganjuran Sukan Olimpik Tokyo yang melibatkan beberapa aspek penganjuran termasuk gelanggang, keselamatan, tiket dan penginapan.

Sementara itu, Jepun dan IOC dalam satu kenyataan bersama berkata, temasya ini mampu menjadi pembakar semangat buat seluruh dunia berikutan masalah yang berlaku sekarang dan api obor Olimpik bakal menjadi penyuluh kepada kegelapan waktu ini.

IOC sebelum ini berada dalam tekanan untuk cuba mengikut jadual temasya seperti yang dirancang namun akhirnya terpaksa akur demi menjaga tahap kesihatan atlet dan pegawai yang akan menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020. -WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas