Berita

Olahan perca kain hiasi Pameran Seni 21 Plus V:2

ARCA dan kolaj yang mempunyai maksud tersendiri ditonjolkan dalam pameran di ASWARA.
- Diterbit 28 Februari 2020 6:12 AM MYT

ASPEK kesenian merupakan sesuatu yang indah dan amat diminati setiap golongan masyarakat. Malah sesiapa sahaja yang melihatnya juga mampu menghargai dan menghayati walaupun tidak memahami maksud tersirat.

Justeru, pameran Seni 21 Plus V:2 sangat dinanti-nantikan berikutan ia merupakan kerjasama 21 universiti.

Dianjurkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), peserta yang terlibat dalam pameran pula terdiri daripada ahli akademik yang mewakili universiti masing-masing antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Selangor (UNISEL) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Pada pameran ini, lebih 60 buah karya yang menggungakan teknik catan, arca besi dan kayu, fabrik, fotografi serta kolaj ditonjolkan kepada umum.

FOKUS kepada 3D menjadikan lukisan Concubine Lane seakan-akan hidup.

Subjek yang dipilih juga adalah pelbagai seperti figura manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan, bangunan serta kenderaan seperti sampan.

Kesemua hasil seni ini adalah karya pensyarah yang mengajar jurusan seni visual di universiti masing-masing dan mereka menjadikan pameran tersebut sebagai satu medan untuk memperagakan bakat.

Karya-karya yang dipamerkan juga memiliki ketinggian mutu dan kreatif kerana peserta mementingkan ketelitian, malah kesungguhan yang terpapar pada hasil kerja benar-benar mengagumkan.

Selain itu, subjek-subjek yang dipilih diadunkan dengan warna yang segar manakala media yang dipilih pula sangat bersesuaian dengan tema.

I.N.T.R.A.N.S No:1 dihasilkan menerusi bahan terbuang.

Karya Azwan Karim berjudul I.N.T.R.A.N.S No:1 yang mengangkat imej ayam jantan sebagai subjek pula antara hasil yang unik kerana ia berbeza dengan pengkarya yang lain berikutan menggunakan bahan-bahan terbuang seperti gitar, plate besi dan gear yang dicantumkan sebelum disembur dengan warna berlapis-lapis menggunakan kaedah stensel.

Bagi pengkarya, Nadya A. Kamal pula, lukisan pemandangan lorong yang dihasilkan dengan kaedah perspektif satu titik iaitu ‘Concubine Lane’ menekankan perincian yang rapi dengan menggunakan kualiti garisan sebagai teras utamanya.

Selain itu, dia turut mengetengahkan aspek pencahayaan supaya hasil menjadikan karya tampak seperti tiga dimensi. Karya ini juga menuntut konsentrasi yang tinggi kerana ia menggunkan pen dan kertas sebagai media utamanya.

KARYA kreatif ini dihasil dengan cantuman fabrik seperti kain kapas, jeans dan belacu.

Menurut salah seorang peserta, Hidawati Amin yang memilih subjek rumah dalam karyanya, ‘The Flower of Hope’ menggambarkan susunan rumah secara rapat dan disusun bertingkat-tingkat.

“Ia memberi gambaran tentang keadaan rumah dan persekitaranya iaitu walaupun sesak tetapi tetap mempunyai keharmonian.

“Bentuk rumah digayakan dengan pelbagai ragam dan di antara rumah tersebut pula terdapat pohon-pohon dan tiang letrik. Karya ini menggunkan fabrik kain seperti kain kapas, jeans serta belacu yang kemudianya dijahit satu persatu mengikut bentuk rumah,” katanya.

Dalam pada itu, kata Hidawati, orang ramai yang ingin melihat pameran seni visual tersebut, bolehlah berkunjung ke Galeri Seni ASWARA.

Tambahnya, Pameran SENI 21 yang akan berkahir 31 Mac ini merupakan penganjuran kali kedua selepas diadakan pada 2018.

Rasfan Abu Bakar merupakan pensyarah di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA)

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas