Atlet Wilayah

Nora Lyana kuarantin diri di rumah

NORA impi beraksi dalam Kejohanan Asia tahun hadapan.
- Diterbit 2 Oktober 2020 10:05 AM MYT

BARU-BARU ini kecoh apabila salah seorang pekerja di pusat beli-belah terkemuka disahkan positif COVID- 19.

Ia turut memberi kesan kepada atlet boling negara, Nora Lyana Nastasia Norakmal, 23, apabila dia dan rakan-rakannya dinasihatkan untuk mengkuarantin diri di rumah memandangkan mereka juga turut menjalani latihan boling di lokasi berkenaan.

“Saya bersama kesemua atlet yang berlatih di sana terpaksa dikuarantin selama 14 hari di rumah masing-masing kerana bimbang jika turut terkena jangkitan virus tersebut,” ujarnya kepada Wilayahku.

Bimbang dengan keadaan semasa, Nora berkata atlet boling lebih terdedah dengan jangkitan virus tersebut memandangkan mereka menjalani latihan boling di lokasi tumpuan ramai.

“Tidak dinafikan memang risau sangat lebih-lebih lagi terdapat penambahan kes baharu secara mendadak, namun saya sentiasa menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah
penularan COVID-19,” ujarnya.

Menurut Nora, pada awalnya dia agak kekok dengan peraturan baharu yang harus dipatuhi seperti memakai pelitup muka, perlu menjarakkan diri sejauh
satu meter ketika berlatih bersama kumpulan dan sebagainya namun lama kelamaan perkara tersebut menjadi biasa padanya.

“Bagi saya, norma baharu yang sentiasa diterapkan dalam diri akhirnya dapat menjadikan kita lebih berdisiplin dan patuh dengan saranan pihak kerajaan untuk kepentingan bersama,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, atlet kelahiran Kuala Lumpur ini amat berharap virus yang melanda dunia ini cepat berlalu memandangkan dia mengimpikan terpilih untuk beraksi mewakili negara dalam Kejohanan Asia tahun hadapan.

“Saya terlalu rindu untuk bertanding seperti sebelum ini namun keadaan semasa membuatkan semua kejohanan terpaksa ditunda. Sekarang ini kami cuma berkesempatan untuk berlatih sahaja bagi mengelakkan kehilangan momentum dan sebagainya.

“Saya sentiasa dahagakan kejayaan dan tidak pernah letih untuk memburu pingat. Malah, saya ingin bergelar atlet pelapis yang hebat pada masa hadapan,” ujar atlet yang pernah membantu Malaysia memperoleh pingat emas dan dua gangsa dalam Kejohanan Boling Remaja Asia ABF ke-18.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas