Berita

NAFAS mahu kurang kebergantungan kerajaan

NAFAS komited kurangkan kebergantungan kepada kerajaan.
- Diterbit 27 November 2021 2:00 AM MYT

PERTUBUHAN Peladang Kebangsaan (NAFAS) perlu mempunyai keupayaan menjana kewangan mahupun produk sendiri demi men gurangkan kebergantungan kepada kerajaan.

Ini kerana, kata Pengerusinya, Datuk Zamri Yaakob, pada masa ini, perniagaan yang dijalankan NAFAS bergantung kepada kerajaan dan ia akan memberi kesan negatif sekiranya dasar negara berubah sekali gus memberi impak besar kepada pesawah serta kakitangan syarikat.

“Perniagaan bergantung kepada kerajaan, jika berlaku sesuatu misalnya perubahan kerajaan… dasar dia tentu berubah dan mungkin (kerajaan baharu) tidak teruskan peruntukan atau subsidi kepada NAFAS.

“Jadi, bagaimana NAFAS mahu cari pendapatan untuk bayar gaji kakitangan yang hampir 600 orang, anggaran bayaran gaji dan kegunaan pelbagai adalah lebih daripada RM2 juta sebulan,” katanya kepada Wilayahku pada Ahad.

Justeru itu, beliau berkata, langkah pertama yang akan dilakukan adalah mengadakan mesyuarat agung NAFAS pada 25 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

ZAMRI

Selain itu, ujar beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan pelabur dari China dan memperkasakan elemen halal Malaysia khususnya dalam projek pembekalan ayam serta daging lembu.

Berkata mengenainya, ujar Zamri, sebahagian daripada projek yang dibincangkan akan bermula tahun depan yang mana memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangi di hadapan Perdana Menteri semasa mesyuarat agung nanti.

“Kita mahu keluarkan ayam 1 juta sehari untuk eksport ke Timur Tengah dan beberapa negara luar kerana mereka anggap halal Malaysia sangat dipercayai. Tumpuan kepada ternakan ayam dan daging lembu.

“Syarikat akan bawa masuk 500 juta lembu untuk dibesarkan, diproses dan dijadikan daging sebelum eksport semula ke negara luar. Perniagaan kita melalui bidang pertanian dan NAFAS ke aras membesarkan projek berkaitan termasuk susu lembu,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Zamri memberitahu, syarikat di bawah terajunya itu juga akan menjadi pengeluar benih padi kepada 320,000 pesawah
seluruh negara sekali gus membantu golongan berkenaan.

“NAFAS perlu jadi pengeluar benih padi pada masa akan datang, 72,000 matrik tan setahun. Mungkin peringkat awal kita bekalkan dalam
30 hingga 40 peratus dulu, selepas mahir kita akan ambil alih 100 peratus.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat terlibat dan saya sudah buat lawatan dua minggu lepas ke utara untuk tengok kilang buat benih antaranya Sri Merbok, Kilang Jati dan Mada Corp. Perbincangan sudah dilakukan dan mereka pun berminat untuk jual separuh saham,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas