Berita

Nadiah beri tumpuan penuh IWWP

AKSI mencabar Nadiah semasa kejohanan.
AKSI mencabar Nadiah semasa kejohanan.
- Diterbit 19 Julai 2019 12:50 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

BINTANG muda ski air negara, Nur Nadiah Hanani Md. Nasir, 24, kembali mewarnai dunia sukan air setelah berehat hampir lima tahun. Pada kemunculannya kali ini, Nadiah tekad untuk mencipta sejarah baharu.

Paling menggembirakan, dia terpilih untuk beraksi pada Kejohanan Dunia Ski Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF) yang akan berlangsung di Pusat Sukan Air, Presint 6, Putrajaya bermula 13 hingga 19 Ogos depan.

“Satu peluang yang tidak akan saya persiakan. Ini merupakan titik permulaan untuk saya melakar kejayaan lebih tinggi lagi. Berbekalkan semangat baru ini, saya begitu yakin dapat melakukan persembahan terbaik pada sukan berprestij ini,” ujarnya.

Berbaki sebulan lagi, atlet kelahiran Klang, Selangor ini giat menjalankan latihan pada setiap hari Ahad hingga Jumaat.

Bertanding dalam kategori slalom, Nadiah mengakui biarpun berehat panjang sebelum ini, dia masih bermain ski air jika ada masa terluang.

“Sungguhpun sibuk menyambung pengajian sebelum ini, saya tetap mencuri waktu untuk bermain. Jadi tidak timbul masalah kekok untuk meneruskannya. Cuma kali ini, saya rasa lebih teruja kerana dapat memberi tumpuan penuh kepada dunia sukan yang dicintai,” ujarnya.

Katanya lagi, selain daripada bertanding, dia mengakui ia merupakan satu peluang untuk bergaul dengan peserta-peserta dunia yang hebat.

“Mereka bakal berkampung di Putrajaya sepanjang tempoh tersebut, jadi secara tidak langsung, saya boleh melihat sendiri cara serta teknik hebat mereka selain berkongsi pendapat tentang dunia ski air ini,” katanya yang menyasarkan untuk menduduki tempat pertama kategori Slalom terbuka pada IWWF bulan hadapan.

Sempat berkongsi pandangan tentang sukan ski air, menurutnya lagi, sukan ini memerlukan sokongan yang padu daripada pihak kerajaan dan juga badan swasta memandangkan ia adalah satu sukan yang agak mahal.

“Ski air memerlukan peruntukan dari segi bot dan juga peralatan luncur air yang lengkap.

Dengan adanya semua ini, maka dapat menarik lebih ramai lagi pelapis muda untuk mencubanya sekali gus menyerlahkan lagi dunia luncur tanah air,” ujar atlet berwawasan ini.

Sukan pilihan keluarga

Bercerita lanjut tentang penglibatannya dalam sukan, anak sulung daripada empat orang adik-beradik ini beruntung kerana dua orang adiknya turut terlibat dalam sukan yang sama dan lebih memudahkannya untuk berkongsi pengalaman.

“Ibu dan bapa kami memang menggalakkan kami aktif dalam sukan. Mereka juga yang banyak berkorban untuk menghantar saya ke kelas latihan sewaktu berumur 12 tahun hinggalah ke hari ini.

“Jadi rasanya tiada alasan untuk saya terus berhenti menabur bakti kepada negara. Tambah menyuntik semangat apabila saya mendapat tempat pertama pada beberapa kejohanan sebelum ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia memilih sukan luncur air disebabkan minatnya dalam sukan lasak dan mencabar. Sungguhpun sedar bakal berdepan dengan kecederaan semasa latihan namun itu bukan perkara yang menggerunkannya.

“Saya tidak kenal erti serik. Apabila berlaku kecederaan semasa latihan, saya perlu mengambil masa seminggu atau lebih untuk berehat dari latihan,” ujarnya yang menjadikan pemain ski air dunia, April Coble Eller sebagai idola.

Biarpun sulit untuk membahagikan masa antara kehidupan peribadi dan latihan, namun pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dari Management & Science University (MSU) ini melatih diri untuk menjadi seorang yang berdisiplin.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas