Berita

MYJOB@WILAYAH: 1000 graduan bakal dapat kerja

|
- Diterbit 29 Disember 2020 5:44 AM MYT

SKIM MyJob@Wilayah di bawah Wilayah Cakna yang diperkenalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bakal memberi manfaat pekerjaan untuk kira-kira 1,000 orang graduan menganggur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, graduan muda tersebut dijangka akan mendapat pendedahan kepada industri binaan di bawah skim MyJob@WilayahPrihatin yang membabitkan kerjasama dengan lebih 30 pemaju di Wilayah Persekutuan.

“Pemaju yang baru mendapat Kelulusan Pelan Pembangunan (DO) akan di beri insentif tertentu dengan syarat antara lain mereka mesti mengambil anak muda profesional khasnya graduan muda menggur,

“Mereka juga akan diberi gaji minima RM2,000 sebulan dan berkhidmat dengan syarikat tersebut sekurang-kurangnya dua tahun,” katanya dalam ciapannya hari ini.

Inisiatif MyJob@Wilayah dilaksanakan bagi memberikan pekerjaan kepada warga kota khususnya graduan muda yang menganggur serta golongan belia dan lebih 500 kekosongan jawatan Pekerja Sambilan Harian (PSH) yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telahpun diisi melalui inisiatif tersebut.

Skim tersebut juga selaras dengan inisiatif Wilayah Cakna yang diperkenalkan KWP bagi membantu golongan sasar termasuk penghuni PPR yang melibatkan kerjasama daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan syarikat swasta seperti Top Glove. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas