Berita

Muslim Pro dan UNICEF menandatangani perkongsian usaha sama

UNICEF merupakan sebuah NGO yang menyediakan bantuan kemanusiaan dan pembangunan kepada kanak-kanak.
- Diterbit 26 April 2022 6:57 AM MYT

BITSMEDIA yang merupakan badan bertanggungjawab terhadap kewujudan aplikasi gaya hidup Muslim terbesar di dunia, iaitu Muslim Pro telah menandatangani perkongsian usaha sama satu tahun dengan Tabung Kanak-kanak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Bitsmedia, Fara Abdullah perkongsian usaha sama tersebut adalah untuk mengaktifkan aktiviti pengumpulan dana bagi program organisasi yang telah memberikan bekalan dan perkhidmatan kritikal dalam menyelamat dan melindungi nyawa di seluruh dunia.

“Kempen pengumpulan dana pertama telah dilancarkan pada bulan Ramadan ini yang memberi tumpuan kepada tindakan kemanusiaan bagi kanak-kanak di Yaman, Syria dan Afghanistan.

“Sepanjang pengumpulan dana Ramadan, pengguna global digalakkan untuk menyumbang kepada kerja-kerja amal UNICEF kerana dalam konflik dan bencana yang berlaku, kanak-kanak adalah individu yang paling menerima kesannya.

“Ketika konflik kemanusiaan, kanak-kanak sangat terdedah kepada penyakit, kekurangan zat makanan dan keganasan. Kanak-kanak yang tinggal di kawasan berisiko lebih cenderung hidup dalam kemiskinan yang melampau atau pendidikan mereka terganggu,” katanya.

Jelasnya, UNICEF memberi tumpuan kepada kanak-kanak ini dan keluarga mereka untuk memberi intervensi kritikal yang diperlukan untuk perlindungan, menyelamatkan nyawa dan memastikan hak semua kanak-kanak terjamin di seluruh dunia.

“Terdapat berjuta-juta kanak-kanak di Yaman, Syria dan Afghanistan yang sangat memerlukan bantuan kemanusiaan. Sebagai jenama Muslim global yang berkhidmat kepada masyarakat Muslim di seluruh dunia adalah penting bagi Muslim Pro untuk bangkit dan turut membawa impak yang besar dan bermanfaat kepada kanak-kanak dalam masyarakat tersebut.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan UNICEF pada masa akan datang dan menggalakkan komuniti global untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dalam apa jua cara,” ujarnya.

Tambahnya, pada Ramadan lalu dengan sokongan melalui usaha dan penderma Muslim Pro di seluruh dunia, UNICEF dapat menyelamatkan nyawa keluarga dan kanak-kanak yang rentan di kawasan konflik terpencil di Yaman dan Afghanistan.

“Perkhidmatan yang diberikan termasuk perkhidmatan air kecemasan, sanitasi dan kebersihan (WASH), perkhidmatan kesihatan melalui pasukan kesihatan atau klinik bergerak, perkhidmatan segera dan kecemasan, penyediaan makanan terapeutik sedia ada untuk kanak-kanak yang kekurangan zat makanan dan memudahkan akses vaksinasi polio kepada kanak-kanak yang tidak divaksinasi,” katanya yang turut memaklumkan kempen ini menandakan kerjasama berterusan Muslim Pro dengan UNICEF sebagai sebahagian daripada kempen Ramadan UNICEF.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bitsmedia, Nik Emir Din berkata pihaknya gembira melihat aplikasi Muslim Pro terus memberi sokongan dan bantuan yang besar kepada umat Islam di seluruh dunia.

“Pengguna Muslim Pro boleh menderma kepada UNICEF sepanjang Ramadan sehingga akhir April melalui pautan dalam aplikasi di https://bit.ly/3JdwAbf untuk menyokong tindak balas kecemasan di Yaman, Syria, dan Afghanistan,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas