Berita

“Muka saya, badan orang lain” – Awie bengang gambar dieksploitasi

- Diterbit 20 Januari 2021 10:00 PM MYT

GAMBAR selebriti dieksploitasi atau digunakan bagi tujuan melariskan sesuatu produk tanpa kebenaran bukanlah perkara baharu.

Ramai selebriti menjadi mangsa kepada pihak tidak bertanggunggjawab yang mahu mengaut keuntungan dengan cara yang salah di sisi undang-undang.

Terbaru, penyanyi rock terkenal, Datuk Awie akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat produk berasaskan suplemen, AG Nutrition International Sdn. Bhd. kerana menggunakan imejnya yang disunting tanpa kebenaran untuk tujuan promosi.

“Muka saya pada badan orang yang lain sambil memegang dua produk yang dikenali sebagai ‘AG Cera’ daripada satu Syarikat bernama AG Nutrition International Sdn. Bhd.

“Saya dapati gambar tersebut telah banyak disebarkan dalam media sosial oleh pengguna-pengguna Facebook yang saya percaya merupakan ejen syarikat tersebut.

“Gambar dimuat naik bersama kenyataan-kenyataan kononnya saya mengamalkan dan menggunakan produk tersebut. Ada juga yang menyatakan saya menyokong atau terlibat dengan bisnes tersebut,” kata Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman,52, pada sidang media Maya semalam.

Awie menegaskan dirinya tidak pernah diupah atau dilantik menjadi duta kepada syarikat tersebut bagi memasarkan atau mempromosikan produk. 

Awie  melalui peguamnya, telah menghantar surat saman ganti rugi kepada syarikat berkenaan pada 6 Januari 2021.

Syarikat tersebut telah membalas surat saman berhubung perkara itu pada tarikh 13 Januari namun menafikan sama ada syarikatnya mahupun ejen-ejen bawah kendalian mereka ada mengeksploitasi gambar atau pengaruh Awie untuk tujuan promosi produk.

Awie tetap mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap AG Nutrition International Sdn. Bhd, kerana gambar-gambar tersebut masih disebarkan dalam media sosial.

Turut hadir pada sidang akhbar maya ialah dua peguam yang mewakilinya berhubung kes tersebut, Adnan Seman dan Azreen Azmi dari Tetuan Adnan Sharida & Associates. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas