Berita

MTBC bimbang prestasi atlet

MTBC bimbang prestasi semasa atlet tenpin boling kebangsaan.
- Diterbit 19 Mei 2020 9:28 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) kini bimbang dengan prestasi semasa atlet tenpin boling negara kerana tiada kejohanan besar yang dapat disertai pada tahun ini akibat penularan wabak Covid-19.

MTBC melalui Setiausaha Agungnya, Maradona Chok memaklumkan pihaknya masih menunggu kebenaran penganjuran Kejohanan Terbuka Malaysia pada November ini yang masih belum pasti dapat dianjurkan atau sebaliknya.

“Kami akan menunggu kebenaran berkenaan kerana kami tidak mempunyai kejohanan besar untuk mempersiapkan atlet. Kebanyakan kejohanan antarabangsa telah pun dibatalkan atau ditunda hingga ke tahun depan,” katanya.

Maradona turut memaklumkan pihaknya juga akan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi oleh semua yang terlibat jika latihan rasmi dimulakan nanti.

“Kebimbangan utama kami adalah para pemain kerana sudah sekian lama mereka tidak berlatih. Kami harus memastikan mereka kembali kepada prestasi terbaik sebaik latihan rasmi dimulakan.

“Sudah pasti kami akan mengenakan SOP yang ketat untuk atlet dan jurulatih. Ini merangkumi penjarakan sosial, pembahagian sesi latihan dan lorong boling untuk mengurangkan risiko,” tambahnya.

April lalu, Boling Dunia mengumumkan penjadualan semula semua acara utama dipinda ke tahun 2021 dan 2022, termasuk Piala Dunia Boling AMF, Piala Dunia Boling Para, Kejohanan Belia dan Remaja Dunia. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas