Berita

MRT Putrajaya laluan 1 masih dalam ujian

PEMBUKAAN operasi fasa pertama Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya ditunda ke suku kedua 2022 berbanding sasaran awal pada hujung bulan ini. Pembukaan operasi fasa pertama Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya ditunda ke
- Diterbit 21 November 2021 12:00 AM MYT

HASRAT orang ramai khususnya penduduk Putrajaya untuk menggunakan MRT sebelum akhir tahun ini nampaknya tidak kesampaian.

Ini selepas ia tidak dapat dibuka untuk kegunaan orang ramai akhir bulan ini seperti dijadualkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Mohd Zarif Hashim berkata, garis masa pembukaan perlu diperhalusi berikutan aktiviti yang masih belum selesai semasa operasi percubaan.

“Operasi percubaan untuk bahagian MRT Putrajaya Laluan Fasa 1 telah berjalan sejak 29 April,” katanya dalam kenyataan.

“Sejumlah 16 tren telah diuji beroperasi di antara Stesen MRT Kwasa Damansara dan Stesen MRT Kampung Batu dalam keadaan perkhidmatan penuh setiap hari namun tanpa penumpang, dalam simulasi operasi sebenar.

“Sepanjang tempoh ini, pemeriksaan terperinci akhir dan demonstrasi prestasi sistem telah berjalan. Setakat ini, kedua-dua aktiviti tersebut masih belum selesai.

“MRT Corp tidak dapat mengambil alih aset daripada kontraktor serah kunci yang dilantik.”

Zarif berkata tren MRT telah mencatatkan lebih 3,000 jam operasi percubaan dan banyak data telah terkumpul.

“Setelah meneliti sendiri data tersebut, kami mendapati bahawa antara beratus-ratus modul sistem yang telah dilaksanakan, dua modul perlu diperhalusi dengan lebih lanjut.

“Kami perlu memastikan semua lapisan sistem primer, sekunder dan ketiga adalah stabil sebelum kami dapat mengambil alih aset ini dan meluluskannya untuk operasi,” katanya.

Sebelum ini, Fasa 1 dijadualkan dibuka pada Ogos tetapi ditunda ke pertengahan November.

Laluan MRT Putrajaya (dahulunya dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh Serdang-Putrajaya) meliputi jarak 56.2km, dengan 36 stesen dari Kwasa Damansara ke Putrajaya.

Fasa 1 merangkumi lebih 17.5km dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu dan akan menghubungkan tempat-tempat seperti Damansara Damai, Bandar Sri Damansara, Kepong, Jinjang dan Kampung Batu. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas