Berita

MR D.I.Y. hantar 9,000 PPE dan 20,000 pelitup muka ke Sabah

MR D.I.Y. Group (M) Bhd managing director Adrian Ong (right) showing a sample of the personal protective equipment (PPE) suits to Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin at the Prime Minister’s Office, that are being distributed to over 30 hospitals around Malaysia.
- Diterbit 23 Oktober 2020 8:36 AM MYT

PERUNCIT perkakas rumah terbesar di Malaysia, MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y) telah menghantar 9,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) dan 20,000 keping pelitup muka, keseluruhan bernilai RM480,000 ke Sabah, semalam.

MR D.I.Y. menerusi kenyataan menjelaskan, penghantaran itu adalah langkah meningkatkan bantuan kemanusiaannya kepada barisan hadapan, pasukan bertindak pertama dan kumpulan yang mudah dijangkiti virus COVID-19 di Sabah, berikutan situasi pandemik berkenaan yang semakin meruncing di negeri itu.

Oleh itu, MR D.I.Y. merancang untuk mengedarkan peralatan tersebut ke kawasan yang terjejas di seluruh Sabah, termasuk empat hospital utama COVID-19, enam klinik kerajaan dan kemudahan kerajaan lain di daerah Semporna, Lahad Datu, Tawau dan Kunak.

“Langkah memerangi COVID-19 oleh MR. D.I.Y. itu susulan pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa, situasi penularan wabak berkenaan di Sabah kini berada pada tahap kritikal, disebabkan peningkatan kes yang tinggi setiap hari,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y. Adrian Ong berkata gelombang ketiga COVID-19 telah melanda Sabah dengan teruk ketika ini, dan pihaknya bimbang barisan hadapan dan rakyat negeri itu berkemungkinan tidak mempunyai akses segera terhadap bekalan yang mereka perlukan.

“Hubungan secara langsung kami dengan pengeluar dan rangkaian logistik di seluruh negara, membolehkan kami menyalurkan bekalan ini dengan segera kepada mereka yang sangat memerlukannya.

“Sebagai peruncit perkakasan rumah, kami komited untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia dengan cara yang bermakna, dan ini adalah perkhidmatan yang sangat diperlukan buat masa ini,” katanya.

Untuk rekod, MR D.I.Y telah mengagihkan lebih 2,000 PPE, 300,000 keping pelitup muka, 10,000 pelindung muka serta bahan untuk membuat pelindung muka berjumlah lebih RM3.8 juta sejak COVID-19 melanda negara, awal tahun ini.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawang MR D.I.Y, www.mrdiy.com, platform e-dagang www.mrdiy.com.my dan Facebook atau Instagram @MR DIY. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas